Saravanan curi tumpuan bantu Harimau Muda 'ratah' Singapura 7-0

Bernama
Mei 11, 2023 20:43 MYT
Antara babak menarik pertemuan Malaysia dengan Singapura dalam menamatkan saingan Kumpulan B di Sukan SEA Kemboja. - Facebook FAM
PHNOM PENH: Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan mengakhiri saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 dengan kemenangan besar apabila menewaskan Singapura 7-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Prince di sini, hari ini.
Pada aksi itu, penyerang T. Saravanan mencuri tumpuan apabila meledak empat gol dan melakukan satu bantuan jaringan sekali gus muncul penjaring terbanyak skuad Harimau Muda pada temasya sukan dwitahunan itu.
Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC berusia 20 tahun itu, meletakkan skuad bimbingan E. Elavarasan di hadapan seawal minit ke-14 selepas rembatan lencongnya dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Singapura, Muhammad Aizil Mohamed Yazid.
Beliau kemudian memainkan peranan dalam gol kedua pasukan negara selepas hantaran lintangnya tepat ke kepala penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli pada masa kecederaan babak pertama.
Saravanan menjadikan kedudukan 3-0 tiga minit selepas rehat apabila merembat padu dari jarak dekat yang menyaksikan beliau memanfaatkan kesilapan pertahanan Singapura, Kieran Teo mengeluarkan bola yang terkena kaki Muhammad Haqimi sebelum bola melantun ke arahnya.
Beliau kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-54 selepas memanfaatkan kekalutan barisan pertahanan Singapura dalam kotak penalti, sebelum meledak jaringan keempat peribadinya menerusi rembatan leret yang gagal diselamatkan Muhammad Aizil pada minit ke-63.
Menghampiri masa penuh, kapten pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan pemain gantian Mohd Aiman Afif Md Afizul masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-88 dan masa kecederaan babak kedua untuk melengkapkan kemenangan besar ke atas Singapura.
Anak buah Elavarasan menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga dengan mengumpul keseluruhan enam mata daripada empat perlawanan di belakang Thailand dan Vietnam sekali gus gagal mara ke peringkat separuh akhir.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia merangkul pingat di Sukan SEA pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dengan meraih perak sementara kali terakhir memenangi emas di Indonesia pada 2011.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #bola sepak #T Saravanan #harimau muda #Singapura
;