Sanusi bertembung lagi dengan TMJ di pentas media sosial

Abd Hadi Che Awang
Oktober 7, 2022 15:51 MYT
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan perasaan pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya dilabel sebagai lanun di arena bola sepak negara. - Gambar fail
ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan perasaan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya dilabel sebagai ‘lanun’ di arena bola sepak negara.
Menurut beliau, pemilik JDT itu seolah-olah boleh melakukan apa sahaja terhadap orang lain, namun, apabila hal sama ditujukan kepada dirinya, tindakan itu dilihat seperti satu perkara yang salah pula.
"Pemilik kelab JDT ini, tidak boleh (mana-mana) orang 'kata' (kritik) dekat dia, dia (kalau) 'kata' dekat orang pula, apa pun tidak apa. Kalau orang 'kata' dia 'lanun' bola sepak, apa dia rasa? Dia kata saya badut, clown, pemecah belah, kalau saya nak kata kat dia, 'hang' 'lanun' bola sepak, dia nak jawab apa? Apa perasaan you kalau I kata you lanun bola sepak?
"(Apa yang dikatakan saya adalah pemecah belah dalam bola sepak) tidak (benar), saya (sebenarnya) menyatukan peminat bola sepak, dalam satu kesatuan bola sepak ini untuk orang ramai, padang yang sama luas, pemain sama banyak, pintu gol yang sama saiz, players yang sama ramai, biasanya players tak sama ramai sebab pengadil masuk belah itu, jadi player dia lebih ramai, saya nak players sama ramai, pengadil di tengah, sekian terima kasih," ujarnya.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Program Jelajah Kedah Sejahtera, di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan harapannya agar pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Daud Bakar supaya menasihati Muhammad Sanusi.
Menerusi satu komen di akaun media sosialnya, Tunku Ismail turut menggesa Muhammad Sanusi supaya dapat menjaga sikap dan menunjukkan keperibadian sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya sebagai ‘badut’.
Muhammad Sanusi dan Tunku Ismail sebelum ini sering terheret dalam perbezaan pendapat selain kedua-dua mereka pernah beberapa kali berbalas kenyataan yang sekali gus menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.
Antara perbezaan pendapat yang pernah dilaporkan ialah Tunku Ismail menggesa Muhammad Sanusi agar mendedahkan identiti individu dimaksudkan beliau, yang didakwa ‘mengawal’ Liga Malaysia.
Muhammad Sanusi juga pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu kuasa penuh yang diberikan kepada seseorang individu dalam sukan bola sepak yang dikaitkan dengan TMJ.
#Muhammad Sanusi Md Nor #lanun bola sepak #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;