Sanusi beri bayangan letak jawatan Presiden KFA

Abd Hadi Che Awang
Oktober 1, 2020 11:50 MYT
Muhammad Sanusi berkata, tindakan itu hanya akan diambil selepas semua masalah dan kemelut yang dihadapi KFA, termasuk isu tunggakan gaji, diselesaikan terlebih dahulu. - Gambar fail
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini memberi bayangan mengundur diri dari memikul jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
Jelasnya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook miliknya, beliau bercadang menyerahkan tugas dan urusan bola sepak kepada pihak yang lebih layak.
"Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.
"Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning," tulis beliau.
Langkah itu dipercayai bertujuan bagi memajukan lagi sukan bola sepak, khususnya di negeri Jelapang Padi ini.
Bagaimanapun, tegas beliau, tindakan terbabit hanya akan dilakukan selepas semua masalah dan kemelut yang dihadapi KFA, termasuk isu tunggakan gaji pemain dan pengurusan, diselesaikan terlebih dahulu.
BACA: "Darul Aman FC dipilih sebab tidak mahu jadi ayam goreng" - MB Kedah
BACA: Kenyataan Sanusi tambah perit skuad Kedah
Pada Rabu, Muhammad Sanusi mengumumkan, pasukan bola sepak Kedah akan menggunakan Darul Aman FC (DFC) sebagai nama rasmi pasukan berkenaan selepas proses penswastaan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau turut menyatakan bahawa DFC turut akan menggunakan logo baharu yang merangkumi ikon yang melambangkan negeri Kedah, termasuk lambang bunga padi serta warna rasmi Hijau Kuning.
Sumber Facebook N24MuhammadSanusiMdNor
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut berhasrat mempertimbang cadangan berkaitan logo baharu DFC, yang dikemukakan peminat Hijau Kuning selepas mendapat kritikan di media sosial.
Jelasnya, logo awal yang didaftarkan adalah bagi menyelesaikan keperluan untuk proses pemisahan daripada Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) mengikut syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Ramai peminat pasukan Kedah hantar, minta pilih logo-logo ini, InsyaAllah kesemuanya akan dipertimbangkan," tambahnya.
#KFA #Muhammad Sanusi Md Nor #letak jawatan #DFC #Hijau Kuning #media sosial #bola sepak #Kedah #Menteri Besar #penyokong setia #layak #tunggakan gaji #logo baharu #kritikan #hutang
;