Santos tunda hajat bersarakan jersi nombor 10

Astro Arena
Januari 2, 2023 12:52 MYT
Dalam temu bual pada 2017, Pele dilaporkan berkata: "Mungkin adalah lebih baik untuk membiarkan nombor 10 agar kemudian orang tidak akan melupakannya." - Foto Astro ARENA
SANTOS membatalkan rancangan untuk membersarakan jersi nombor 10 yang dipakai Pele sepanjang kariernya bersama kelab Brazil itu.
Ahli lembaga kelab itu berbelah bahagi mengenai isu berkenaan dan kemunculan video lama di mana Pele berkata bahawa dia menentang idea tersebut mendorong cadangan itu agar dibatalkan buat masa ini.
Dalam temu bual di YouTube pada 2017, Pele dilaporkan berkata: "Mungkin adalah lebih baik untuk membiarkan nombor 10 agar kemudian orang tidak akan melupakannya."
Presiden Santos, Andres Rueda, berkata sejurus selepas kematian Pele, persaraan jersi nombor 10 itu akan menjadi "satu penghormatan yang hebat" sambil menyerahkannya kepada ahli lembaga kelab untuk dipertimbangkan, tetapi cadangan terbabit terpaksa dilupakan sementara waktu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuatkan.
Beberapa laporan di Brazil mengatakan anak perempuan Pele telah meminta ia dibersarakan, tetapi Santos enggan terburu-buru.

Obrigado, Rei Pelé. pic.twitter.com/2Xb7XElR41

— Santos FC (@SantosFC) December 29, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pele memenangi tiga trofi Piala Dunia bersama Brazil iaitu menerusi edisi 1958, 1962 dan 1970, sekali gus dianggap sebagai pemain terhebat dalam generasinya termasuk menjelajah dunia bersama Santos atas pelawaan perlawanan.
Menurut akhbar Sao Paulo Folha, Rueda berkata: "Terdapat video lama yang disampaikan kepada kami iaitu Pele bercakap tentang keinginannya untuk mengekalkan jersi nombor 10.
"Konsepnya berubah sedikit sekarang. Kami akan berbincang dengan keluarganya kelak, sekarang bukan masanya."
Pele mewakili Santos dari 1956 hingga 1974 dan kelab itu mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari selepas kematiannya Khamis lalu pada usia 82 tahun.
#jersi nombor 10 bersara #Pele #Santos
;