Sang Kenari melonjak ke tangga kedua selepas kecewakan Harimau Kumbang
Bernama
April 17, 2022 05:30 MYT
April 17, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman FC berjaya melupakan igauan buruk selepas dibelasah 1-4 oleh Selangor FC minggu lepas dengan menumpaskan Penang FC, 2-1, dalam aksi Liga Super 2022 di Stadium Bandaraya, Georgetown, malam tadi.
Kejayaan diraih pasukan kendalian pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak dalam aksi "derby utara" itu menyaksikan Kedah memintas Sabah FC untuk berada di tangga kedua liga dengan 12 mata selepas lima perlawanan, di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT).
Biarpun Kedah menguasai perlawanan pada sepuluh minit pertama, namun Penang yang berjaya mengimbangi asakan naib juara Liga Super 2021 itu memperoleh gol pembukaan pada minit ke-16 menerusi penyerang dari Lubnan, Hilal El-Helwe, selepas mudah menolak masuk bola hantaran leret dari sebelah kiri oleh T Saravanan.
Penjaga gol Penang Khatul Anuar Md Jalil kemudian bertindak cemerlang menafikan jaringan penyamaan Kedah selepas menepis keluar tandukan penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah pada minit ke-28 dan kedudukan itu kekal sehingga waktu rehat.
Bersambung babak kedua, serangan bertali arus "Sang Kenari" ke kubu "Harimau Kumbang" membuahkan hasil apabila Ronald menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas beliau dijatuhkan tonggak pertahanan, Ariff Ar-Rasyid Ariffin.
Tiga minit kemudian, Ronald terus membuktikan kehebatannya dengan mencetak jaringan kedua melalui sepakan lencong dari sebelah kiri padang dan ianya sudah cukup bagi memastikan Kedah membawa pulang tiga mata penuh ke Alor Setar.
Sementara itu, Terengganu FC berjaya melakar kemenangan sulung liga musim ini dengan menumpaskan Sarawak United FC, 2-0, di Stadium Negeri, Kuching.
Penyerang import, Kpah Sherman mengejutkan tuan rumah seawal minit kelapan apabila bijak mengambil kesempatan terhadap kelalaian barisan pertahanan tuan rumah yang gagal menghidu pergerakannya sebelum tenang menyumbat masuk gol pendahuluan Terengganu.
Bagaimanapun, malang menimpa Kpah apabila menerima layangan kad merah susulan tindakannya yang mengasari tonggak pertahanan Sarawak United, Gonzalo Manuel Soto ketika cuba merebut bola dari udara pada minit ke-33.
Walaupun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, skuad kendalian B Sathianathan ternyata gagal menembusi benteng Terengganu dan tuan rumah terus dirundung malang apabila pemain gantian, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle, menyimpulkan kemenangan buat pasukan Pantai Timur menerusi gol kedua pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa kedua.
Aksi tunggal Liga Premier membabitkan Johor Darul Ta'zim II dan Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang pula memihak tuan rumah yang menang 3-1, sekali gus membantu mereka meneruskan permulaan baik musim ini.
Fernando Rodriguez Ortega meletakkan JDT II di depan menerusi jaringan pada minit ke-18 diikuti gol oleh Adam Nor Azlin (53') dan Moussa Sidibe (68') manakala Mohamad Aliff Hassan menjaringkan gol sagu hati pelawat menerusi sepakan percuma pada minit ke-60.
-- BERNAMA