Sane, Aguero tidak beri Schalke muka
Astro Arena
Mac 13, 2019 09:15 MYT
Mac 13, 2019 09:15 MYT
MAN CITY 7 SCHALKE 0
(Man City mara dengan agregat 10-2)
Pep Guardiola memuji persaingan merebut tempat dalam skuad Manchester City selepas Leroy Sane diturunkan untuk menyingkirkan Schalke dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Pemain antarabangsa Jerman itu memainkan peranan utama ketika membelasah bekas kelabnya itu 7-0 untuk City melangkah ke suku akhir UCL hasil kemenangan agregat 10-2 dalam pusingan 16.
Pemain berusia 23 tahun itu mencetak satu gol dan mencipta tiga peluang lagi untuk membuktikan bahawa dia berhak beraksi berbanding Riyad Mahrez, salah satu daripada tiga rombakan yang dilakukan berbanding skuad yang menewaskan Watford dalam aksi liga, hujung minggu lalu.
Kevin De Bruyne, Fernandinho, Nicolas Otamendi dan Vincent Kompany turut terlepas aksi terbabit namun kehilangan mereka terbukti tidak menggugat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk menghadiahkan kekalahan terburuk wakil Jerman dalam kempen UCL.
"Mereka tahu mereka perlu bersaing antara satu sama lain," kata pengurus City, Guardiola kepada BT Sport.
"Semua pemain mahu beraksi dan semua pemain perlu beraksi di tahap yang baik. Hari ini semua orang cuba memperagakan aksi terbaik dengan terlibat dengan pergerakan dan terus berusaha.
"Dalam perlawanan terakhir, Riyad Mahrez muncul salah seorang pemain terbaik dan hari ini, giliran Leroy pula di tahap yang baik.
City menang 10 perlawanan berturut-turut sejak awal bulan lalu untuk kekal dalam pemburuan empat trofi utama.
Bagaimanapun, Guardiola memberi amaran adalah penting bahawa pemain bintang yang diketepikan dalam skuadnya perlu segera pulih dengan segera untuk City mengekalkan rentak mengagumkan.
"Buat masa ini, ramai pemain kami yang tercedera," katanya. "Kami mahu meneruskan rentak ini terutama bulan depan, tetapi kami memerlukan pemain untuk kembali cergas atau ia akan menjadi misi mustahil."
#EPL
#Gabriel Jesus
#Leroy Sane
#Liga Juara-Juara
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester City
#Pep Guardiola
#Schalke