Sanchez tamatkan igauan buruk dengan pinjaman ke Inter

Astro Arena
Ogos 30, 2019 12:30 MYT
Pemain berusia 30 tahun itu, yang menyertai saingan Copa America bulan lalu, tidak terlibat dalam kempen pramusim United ekoran komitmennya bersama skuad kebangsaan Chile. - Gambar fail/Reuters/Paul Childs
MIMPI ngeri Alexis Sanchez bersama Manchester United ditamatkan selepas menyertai pasukan Serie A, Inter Milan, secara pinjaman.
Kedua-dua kelab itu masih belum mengeluarkan pengesahan berkenaan butiran pinjaman itu, yang diumumkan awal pagi tadi.
Inter berhasrat untuk mendatangkan penyerang AS Roma, Edin Dzeko, sebelum pemain itu melanjutkan kontrak bersama kelabnya dan tumpuan Nerazzurri kemudian beralih kepada Sanchez, yang kembali ke Itali selepas meninggalkan Udinese untuk menyertai Barcelona pada 2011.
Sanchez diletakkan harapan tinggi ketika menyertai United daripada Arsenal pada Januari 2018 -- menerusi perjanjian yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan berpindah ke The Gunners.
Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Chile itu gagal mencetus impak di Old Trafford, di mana kecederaan dan prestasi buruknya memusnahkan reputasinya sepanjang musim lalu.
Dia hanya menjaringkan lima gol daripada 45 penampilan dalam kesemua kejohanan dengan tiga daripadanya dalam Liga Perdana Inggeris.
Pemain berusia 30 tahun itu, yang menyertai saingan Copa America bulan lalu, tidak terlibat dalam kempen pramusim United ekoran komitmennya bersama skuad kebangsaan Chile.
Dia akan menjadi pemain Chile kelima pernah menyertai Inter selepas Ivan Zamorano, David Pizarro, Luis Jimenez dan Gary Medel.
Saksikan secara langsung perlawanan di antara United dan Southampton di Rasta, TTDI, malam esok, bermula 6 petang hingga 9.30 malam, anjuran istimewa Stadium Astro dan Astro AWANI.
#Alexis Sanchez #Astro Awani #barcelona #bola sepak #inter milan #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #Old Trafford #Serie A #The Gunners
;