Sanchez bantu United mara ke pusingan ke-5 Piala FA
Astro Awani
Januari 26, 2018 06:56 MYT
Januari 26, 2018 06:56 MYT
Manchester United mara ke pusingan kelima Piala FA Inggeris selepas mengenepikan Yeovil Town 4-0 di Huish Park.
Kemenangan ini lebih bermakna buat Pengurus The Red Devils, Jose Mourinho selepas pemain terbaharu kelab itu, Alexis Sanchez nampak selesa beraksi bersama rakan sepasukan.
Pemain Chile tersebut memainkan peranan penting dalam dua gol pertama United yang dijaringkan Marcus Rashford dan Ander Herrera.
Walaupun beraksi cemerlang, Sanchez tetap digantikan dengan Jesse Lingard yang menyumbat gol ketiga United pada minit ke-89.
Penyerang dari Belgium, Romelu Lukaku pula melengkapkan kemenangan bergaya buat United apabila menjaringkan gol keempat perlawanan sebelum wisel penamat dibunyikan.