Samurai Biru, Singa Teranga sama kuat

Israr Khalid
Jun 25, 2018 09:55 MYT
Keisuke Honda pastikan Senegal tidak membawa pulang tiga mata berharga dalam perebutan slot ke pusingan kalah mati. - AP
Selepas masing-masing menang dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, Jepun dan Senegal mempunyai peluang untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati – tetapi salah satu daripada mereka harus kalah apabila kedua-duanya bertembung di Ekaterinburg.
Dua kali Jepun ketinggalan dan akhirnya berjaya mengikat kedudukan untuk berpuas hati dengan satu mata daripada petemuan menentang Senegal yang berkesudahan 2-2.
Kegamatan di Ekaterinburg bermula dengan gol pertama untuk Senegal yang dijaringkan daripada rembatan Youssef Sabaly yang gagal dibaca penjaga gol Jepun, Eiji Kawashima lalu dipintas dan ditampan masuk bola melepasi kawalannya oleh kapten Senegal, Sadio Mane pada minit ke-11.
Tidak lama kemudian, Jepun menyamakan kedudukan dengan gerakan serangan cantik sepasukan dan disudahkan Takashi Inui menerusi rembatan lencong rendah menewaskan Khadim Ndiaye pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua, drama dan naratif yang lebih kurang sama berlaku, Moussa Wague kembali membawa Senegal di depan dengan merembat deras bola untuk menewaskan Kawashima pada minit ke-71.
Singa Teranga sudah mula mengaum lantang dengan gol pendahuluan itu, yakin tiga mata akan berjaya diperoleh ketika masa tinggal kurang 20 minit.
Namun Samurai Biru enggan mengaku kalah sebelum waktunya, gerakan terus diatur sehinggalah Keisuke Honda mengkucar-kacirkan pertahanan Senegal sebelum menampan masuk bola untuk membuatkan Senegal gigit jari.
Jepun dan Senegal masing-masing mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, diikuti Colombia yang melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Poland sekaligus memberikan tiket pulang awal kepada Robert Lewandowski serta rakan.
#Jepun #Keisuke Honda #Moussa Wague #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018 #Sadio Mane #Senegal #Takashi Inui
;