Sambutan Aidifitri pemain hoki negara, Norshafikah suram
Astro Arena
Julai 20, 2015 16:11 MYT
Julai 20, 2015 16:11 MYT
Ketika umat Islam di seluruh negara sedang bergembira menyambut perayaan Aidilfitri, perkhabaran sedih menimpa pemain hoki wanita negara, Norshafikah Mat Isa selepas kehilangan ibunya, Noraidah Sajuri pada Ahad akibat jangkitan paru-paru.
Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan Norshafikah selepas kehilangan insan paling disayangi iaitu ibunya sendiri.
Bagi Norshafikah, apa yang berlaku ialah satu kejutan buat keluarganya kerana ibunya sebelum ini tidak ada menunjukkan sebarang petanda akan pergi buat selamanya.
"Dia menyuruh saya menyambung pelajaran dan sentiasa menyokong karier hoki saya. Apabila dia sudah tiada, tentunya saya kehilangan semangat."
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail pemergian Noraidah adalah satu kehilangan terutama buat Norshafikah yang mengganggap ibunya sebagai pendorong utama untuk berjaya. "Semangat arwah ibunya setiap kali berjumpa tidak jemu-jemu berbincang bukannya berkaitan hal-hal keluarga tetapi hal-hal sukan negara.
"Saya merasa sememangnya arwah ibunya merupakan dorongan yang besar buat Norshafikah," katanya.
Noraidah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kapar, Klang di Selangor.