SAM, YAKEB prihatin nasib dialami dua bekas wartawan sukan
Bernama
April 26, 2022 05:30 MYT
April 26, 2022 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kepayahan dan masalah kesihatan dialami dua bekas wartawan sukan tanah air mendapat perhatian Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) yang tampil menghulurkan bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mereka yang menerima bantuan adalah Jalil Mat Dom, 61, dan Tumpang Saptu, 69.
Presiden SAM Norismadi Abd Manap berkata program dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu menyaksikan kedua-dua mereka diberi bantuan kewangan manakala Jalil yang lumpuh akibat strok sejak tahun lepas turut dihadiahkan sebuah kerusi roda.
Turut hadir Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
"Media dan sukan saling memerlukan. Kami (YAKEB) sangat menghargai jasa media kerana memberi semangat dan menaikkan taraf sukan negara, justeru kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringan beban penerima," kata Noorul Ariffin selepas berkunjung ke kediaman Jalil di Ampang, dekat sini pada Selasa.
-- BERNAMA