SAM sambut baik kelonggaran MFL kepada petugas media
Bernama
Mac 22, 2021 07:23 MYT
Mac 22, 2021 07:23 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyambut baik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang memberikan kelonggaran antaranya membenarkan media membuat liputan ketika sesi latihan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Presidennya Datuk Jasni Shafie berkata kebenaran untuk membuat temu ramah sebelum, semasa dan selepas latihan adalah berita gembira kepada petugas media yang sebelum ini dilarang membuat liputan sesi latihan pasukan.
Beliau berkata SAM juga berterima kasih kepada MFL yang tidak lagi mewajibkan petugas media, khususnya jurugambar dan jurukamera, membuat ujian RTK Antigen, sekali gus mengurangkan beban kewangan ahli media.
"Keprihatinan MFL mendengar rintihan pengamal media sebelum ini membuktikan mereka sentiasa memberi keutamaan kepada media yang turut sama membantu merancakkan saingan liga bola sepak di Malaysia.
"Kami ahli media menghargai langkah terbaharu MFL ini, khususnya Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dan berharap liga bola sepak tempatan kembali meriah selepas pandemik COVID-19 ini. SAM berharap perkembangan ini memberikan impak positif kepada sukan negara," katanya menerusi kenyataan.
MFL sebelum ini mewajibkan jurufoto dan juruvideo untuk melakukan ujian RTK Antigen setiap kali memasuki stadium manakala temu ramah tidak dibenarkan kecuali ketika sidang media selepas perlawanan.
-- BERNAMA
#SAM
#penulis
#wartawan
#Media
#sukan
#Jasni Shafie
#MFL
#Liga Malaysia
#liputan
#sesi latihan
#kelonggaran
#beban kewangan
#ujian RTK Antigen
#ujian saringan
#COVID-19