Sam Allardyce dijangka tinggalkan Everton kurang 24 jam lagi
Astro Awani
Mei 15, 2018 19:49 MYT
Mei 15, 2018 19:49 MYT
BEKAS pengurus Watford, Marco Silva berkemungkinan besar mengambil alih tugas selaku pengurus Everton.
Ia susulan penyandangnya Sam Allardyce yang dilaporkan bakal meningalkan Everton kurang 24 jam lagi.
Memetik laporan Sky Sports, Allardyce dijangka bertemu pemilik Everton, Farhad Moshiri pada Rabu.
Allardyce dijangka menerima pampasan bagi baki kontraknya selama 12 bulan yang dianggarkan berjumlah 6 juta pound.
Everton menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kelapan selepas kebangkitan luar biasa di penghujung musim yang menyaksikan The Toffees hanya tewas dua kali dalam sembilan perlawanan terakhir.
Silva pada November lalu dikaitkan bakal berhijrah ke Goodison Park ketika dia masih bersama Watford.
Everton dilaporkan menawarkan pampasan berjumlah 12 juta pound namun ditolak Watford.