Salji tebal ganggu jadual Olimpik Musim Sejuk
Agensi
Februari 14, 2022 13:41 MYT
Februari 14, 2022 13:41 MYT
BEIJING: Salji tebal telah mengganggu jadual Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan suhu menjunam di bawah -22 darjah Celsius di Beijing.
Beberapa acara ski slopestyle terpaksa ditunda sehari kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan di Genting Snow Park.
Acara kelayakan ski bebas wanita juga ditangguhkan pada Ahad kerana salji tebal dan jarak penglihatan yang terhad.
Malah ada beberapa acara yang sudah bermula tidak dapat ditamatkan.
Salji diramal lebih lebat pada Isnin, dengan suhu di kawasan pergunungan dijangka mencecah -35 darjah Celsius dengan angin sejuk.
Ironinya, kesukaran yang disebabkan oleh salji itu datang selepas dikritik kerana menjadi Olimpik Musim Sejuk pertama yang menggunakan hampir 100 peratus salji tiruan.
Salji tiruan yang digunakan di Beijing 2022 "menimbulkan persoalan yang sukar mengenai alam sekitar" dengan lebih 222 juta liter air diperlukan untuk mewujudkan salji, kata pakar ekologi.