Salah & Firmino pastikan The Reds mara ke separuh akhir UCL

Ian Johan Ariff
April 10, 2018 06:00 MYT
Pemain Liverpool Alex Oxlade-Chamberlain dalam cubaan untuk menjaringkan gol sebelum dinafikan penjaga gol Manchester City. - Reuters/Jason Cairnduff
LIVERPOOL mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris (PL), Manchester City dengan agregat 5-1.
The Reds yang membawa bekalan selesa tiga gol hasil kemenangan di Anfield minggu lepas, menewaskan pasukan tuan rumah 2-1 di Stadium Etihad awal pagi tadi dalam perlawanan suku akhir kedua.
Gabriel Jesus memberi sedikit harapan buat penyokong the Citizens apabila menjaringkan gol pertama perlawanan seawal minit ke-2 namun Liverpool bangkit dalam babak kedua dengan gol daripada Mohamed Salah pada minit ke-56 dan Roberto Firmino, minit ke-77.
Perlawanan suku akhir kedua tersebut dipalit dengan kontroversi keputusan pengadil yang turut menyaksikan pengurus City, Pep Guardiola dibuang padang akibat bertengkar dengan pengadil perlawanan sejurus babak pertama tamat.
Pasukan Liverpool meraikan kemenangan mereka ke atas Manchester City. - Reuters/Jason Cairnduff
City seperti biasa menguasai permainan seperti dalam suku akhir pertama di Anfield minggu lepas, sementara Liverpool dilihat tidak mampu merampas bola dari pemain tengah pemain tuan rumah sejak sepak mula.
Kontroversi keputusan pengadil bermula seawal minit ke-2 apabila Raheem Sterling dilihat menolak Virgil van Dijk dalam usaha merampas bola dari pertahanan Liverpool itu.
Namun, tiada faul diberikan oleh pengadil membolehkan City melancarkan serangan balas yang menyaksikan Jesus menyudahkan hantaran Sterling.
Satu lagi keputusan yang dipertikaikan City apabila gol Leroy Sane pada minit ke-42 dibatalkan akibat ofsaid, namun video ulangan menunjukkan keputusan yang dibuat pengadil adalah tidak tepat.
Pemain dan pengurusan City dilihat mengerumuni pengadil perlawanan selepas wisel babak pertama ditiup, sebelum Guardiola dibuang padang akibat bertengkar dengan pengadil.
Liverpool kelihatan lebih tenang memegang bola dalam babak kedua yang menyaksikan Salah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56, selepas pertahanan CIty gagal menghentikan larian Sadio Mane ke dalam kotak penalti.
Gol tersebut ternyata melemahkan semangat City yang banyak melakukan kesilapan dalam membuat hantaran.
Kesilapan pertahanan City dihukum pada minit ke-77, apabila Firminho mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ederson untuk Liverpool mendapat gol kedua di tempat lawan.
Walaupun City memasukkan penyerang berbisa mereka, Sergio Aguero dan juga pemain sayap Ilkay Gundogan untuk memantapkan serangan, ternyata ia sudah terlambat buat the Citizens mencari lima gol untuk membolehkan mereka mara ke separuh akhir.
Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Roma mengejutkan Barcelona dengan kemenangan 3-0 di tempat sendiri sekaligus mara hasil kelebihan gol di tempat lawan.
Perlawanan tamat dengan agregat 4-4, namun satu gol yang dijaringkan Roma di Nou Camp minggu lepas sudah memadai untuk pasukan Itali itu mara ke separuh akhir.
#Anfield #barcelona #Gabriel Jesus #Leroy Sane #Liverpool #Manchester City #Mohamed Salah #Pep Guardiola #Raheem Sterling #Roma #Stadium Etihad #The Citizens #UCL #Virgil Van Dijk
;