Salah dilapor 'bergaduh' dengan Klopp, mahu tinggalkan Liverpool hujung musim ini

Agensi
April 17, 2019 06:26 MYT
Salah dikhabarkan bertengkar dengan Klopp, entah apa puncanya. - Foto Reuters
PERTEGANGAN urat dan pertikaman lidah dikhabarkan berlaku antara penyerang ikonik Liverpool, Mohamed Salah dengan pengurus kelab, Jurgen Klopp.
Lapor sebuah akhbar Sepanyol, AS, pertelingkahan yang berlaku itu cukup membara sehingga pemain berusia 26 tahun itu dikatakan akan menyerahkan surat permohonan berpindah atau transfer request kepada pengurusan kelab supaya dilepaskan selesai musim ini.
Sejak tiba ke Anfield dua tahun lepas, Salah pantas menjadi pujaan Kopites apabila mengukir musim pertama dengan penuh gemilang selepas meledak 32 gol saingan liga, tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dalam satu kempen.
Beliau diangkat sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA, malah membawa The Reds ke final Liga Juara-Juara Eropah di Kiev yang berakhir singkat apabila bahunya terkehel selepas bertembung dengan Sergio Ramos.
Real Madrid juga menjadi sebutan sebagai antara sebilangan kecil kelab yang sedang memburu penyerang berbisa serta kemampuan kewangan mereka untuk menerbangkan Salah ke Santiago Bernabeu.
Kini, beliau berkongsi takhta dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero selaku penjaring terbanyak Liga musim ini dengan ledakan 19 gol setakat ini.
BACA: Liverpool mara ke separuh akhir
Tiga mata berjaya dikutip selepas Salah membedil Chelsea dengan roket untuk gol kedua Liverpool ketika menerima kunjungan Chelsea, terus memberikan tekanan kepada Manchester City yang berada di bawah dengan kelebihan yang satu mata dan kurang satu perlawanan.
Salah tidak terlepas untuk berkongsi maksud di sebalik gayanya meraikan gol pada perlawanan hujung minggu lepas itu yang menjadi perbualan hangat.
“Saya orang yoga! Saya amalkan yoga dan ianya terlintas dalam fikiran saya (ketika itu).”
Rentak cemerlang diteruskan apabila sekali lagi meledak untuk membantu Liverpool membaham Porto di laman mereka sendiri 1-4, melangkah penuh bergaya untuk bertemu Barcelona di pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Di sebalik persembahannya yang kian menyenangkan, berita tentang pertelingkahan yang semakin menular itu hadir sebagai sesuatu yang tidak enak khususnya buat penyokong Liverpool.
Bagaimanapun, ejen Salah, Ramy Abbas tampil menafikan perkara tersebut di Twitter, mengatakan bahawa ia satu lagi 'laporan' oleh AS.

Talking out of their AS again I see.

— Ramy Abbas Issa (@RamyCol) April 17, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Anfield #bola sepak #gaduh #jurgen klopp #Kopites #Liga Juara-Juara Eropah #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Mohamad Salah #pindah #Raja Mesir
;