"Sakitnya bukan kepalang, saya macam ayam kena sembelih" - Azizulhasni cerita detik-detik kemalangan
Astro Awani
Disember 14, 2019 20:12 MYT
Disember 14, 2019 20:12 MYT
SAKIT yang ditanggung jaguh trek negara, Azizulhasni Awang dalam kemalangan ketika bersaing pada pusingan pertama acara keirin Piala Dunia di Brisbane, Australia pagi Sabtu digambarkannya sebagai bukan kepalang.
Insiden yang berlaku dalam siri kelima Piala Dunia yang berlangsung di Velodrom Anna Meares itu juga terlalu memeritkan.
Kata Azizulhasni, keadaan beliau ketika itu seperti ayam kena sembelih.
"Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama ALLAH dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada tahun 2011 lalu.
"Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil dari hentakan jatuh dan juga dilanggar pelumba dari belakang saya pada kelajuan at least 70 kilometer sejam
"Saya dah macam ayam kena sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata tapi terdengar suara jurulatih, John Beasley, beliau suruh saya baring, relax dan cuba bernafas. Saya cuba relax kan otot-otot saya semampu boleh dan fokus kepada pernafasan. Sakitnya bukan kepalang," kata Azizulhasni dalam catatan di laman Facebook peribadinya.
Menceritakan kembali detik-detik perlanggaran, Azizul berkata insiden itu bermula sebaik loceng dibunyikan yang menandakan tinggal satu lagi pusingan untuk ditamatkan.
"Saya cuba memecut ke hadapan untuk memotong pelumba dari Poland (Krzysztof Maksel) yang berada di hadapan. Ketika cuba memotong, pelumba dari Jepun (Tomoyuki Kawabata) yang datang dari belakang juga cuba untuk memecut ke hadapan dan mengakibatkan saya terhimpit dengan pelumba dari Poland dan terus 'mencium' permukaan velodrom bersama beberapa pelumba lain.
"Saya dimaklumkan pelumba Jepun itu disqualified kerana salah beliau. Malangnya, keputusan itu tidak menghilangkan sakit dan luka-luka di badan saya.
"Saya terseret jauh, mata dipejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panas, pedih dan sakit, situasi amat huru hara... terdengar juga jeritan daripada pelumba lain," ujar Azizulhasni yang popular dengan gelaran 'ThePocketRocketman'.