Saiful Merican diberi peluang ajar MMA di Maldives

Syakirah Zulkifly
Jun 13, 2018 11:52 MYT
Saiful akan bergabung dengan jurulatih Muay Thai di Maldives, Kai untuk kem MMA yang bakal berlangsung selama tiga hari daripada 19 hingga 21 Jun di Fushifaru, Maldives. - Foto Instagram / Saiful Merican
Atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Saiful Merican ingin memperkenalkan sukan itu di Maldives.
Menurutnya dalam satu kenyataan, beliau akan bergabung dengan jurulatih Muay Thai Maldives, Kai untuk kem MMA yang bakal berlangsung selama tiga hari daripada 19 hingga 21 Jun di Fushifaru, Maldives.
Selain itu, bekas peninju Muay Thai nombor satu dunia (kategori 57kg) tersebut bakal berkongsi pelbagai tekniknya bagi melatih dan menguji kekuatan, stamina serta ketangkasan para atlet yang akan menyertai beliau.
Namanya yang sudah dikenali selepas bertarung lebih daripada 130 pertarungan, Saiful berharap atlet MMA lain berminat untuk menyertai kem ini.
Sebelum ini, Saiful mengalami kecederaan siku kanannya dan patah tangan kanan sewaktu pertandingan selepas menghadapi lawannya, Che Lei dari China pada tahun lalu.
Saiful yang juga Naib Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMA) mula menyertai MMA pada tahun 2013 selepas bertempur dalam ratusan pertarungan Muay Thai sejak berusia 11 tahun.
"Saya mahu menguji diri saya dan terus belajar, latihan MMA akan mencabar minda dan badan anda untuk mencapai sasaran sukan ini,” kata anak kelahiran Terengganu itu.
Tambahnya, latihan tersebut bertujuan untuk melatih seluruh tubuh badan selain tumpuan pada kekuatan dan ketahanan.
Sukan MMA yang sedang pesat berkembang di serata dunia merangkumi pelbagai teknik campuran daripada sukan Brazil Jiu-jitsu, Wrestling, Judo, Muay Thai, Sanda dan banyak lagi.
#Malaysia #Maldives #Mixed Martial Arts #MMA #Muay Thai #Saiiful Merican
;