Sah! Salah akan beraksi dalam perlawanan pembukaan Mesir lawan Uruguay
Israr Khalid
Jun 14, 2018 21:51 MYT
Jun 14, 2018 21:51 MYT
‘RAJA MESIR’, Mohamed Salah sah akan diturunkan dalam perlawanan pembukaan Mesir dalam kempen Piala Dunia 2018 Rusia menentang Uruguay dalam saingan Kumpulan A.
Sebelum ini, peluang untuk ayam tambatan Mesir itu beraksi dalam Piala Dunia amat tipis selepas mengalami kecederaan bahu ketika kekalahan Liverpool kepada Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bulan lepas.
Bagaimanapun, pemain 25 tahun itu menunjukkan perkembangan yang pantas daripada proses pemulihannya, dan ketua jurulatih Mesir, Hector Cuper yakin Salah akan cergas untuk beraksi pada Jumaat.
“Saya boleh kata hampir 100 peratus dia akan bermain, sekiranya tiada aral melintang pada saat akhir.
“Kami mahu memberikannya keyakinan. Doktor memberinya pilihan untuk bermain atau tidak. Saya sangat kenal Salah, dia orang yang tidak ada rasa takut,” kata Cuper.
Namun dia juga menyedari bahawa ia juga satu risiko, tetapi segalanya berbalik kepada Salah sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain.
Salah menjalani musim gemilang buat dirinya secara peribadi, apabila merangkul Anugerah Kasut Emas dan Pemain Terbaik Tahunan PFA bersama Liverpool.
Paling manis apabila berjaya membawa negaranya layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.
Selepas melayan cabaran juara dunia dua kali, Uruguay di Stadium Central di Yekaterinburg, The Pharaohs akan berdepan tuan rumah, Rusia dan musuh tradisi, Arab Saudi untuk melengkapkan saingan Kumpulan A dengan harapan memperbaiki rekod pada 1990 yang gagal melangkah ke pusingan kalah mati.