Safee sah ke Johor musim depan

Astro Awani
Disember 5, 2012 08:29 MYT
Pengiktirafan diRaja: Tunku Ismail bersalaman dengan Safee di Wisma FAM malam tadi.
Teka-teki mengenai masa depan penyerang kebangsaan Safee Sali akhirnya terjawab apabila dia sah bersama Johor untuk saingan Liga Super musim depan.
Safee menandatangani kontrak bersama pasukan selatan itu di Wisma FAM malam tadi yang dihadiri oleh pemain-pemain Johor yang lain termasuk Norshahrul Idlan Talaha dan presiden Persatuan Bola Sepak Johor Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Safee akan dipinjam ke Johor untuk semusim dengan PBNJ menanggung kos gaji bekas pemain Selangor itu.
Safee mengambil keputusan kembali ke saingan Liga-M kerana risau dengan kemelut dalaman bola sepak Indonesia yang sehingga kini belum nampak mampu diselesaikan dengan baik.
Penyerang negara itu sebelum ini dikaitkan dengan Kelantan untuk saingan musim depan.
Safee menjadi jutawan bola sepak pertama negara apabila beraksi dengan kelab Indonesia Pelita Jaya sejak dua tahun yang lalu.
Namun perbalahan yang tiada kesudahan antara Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, PSSI dan Komite Penyelamat Sepak Bola Indonesia (KPSI) merintis kemungkinan buat badan bola sepak dunia Fifa untuk menggantung persatuan republik itu.
#bola sepak #Indonesia #Johor #safee sali
;