Safawi optimis 'ngauman' berbeza Harimau Malaya

Sinar Harian
Mac 22, 2022 21:44 MYT
Skuad Harimau Malaya berada di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura bagi menyertai siri persahabatan Tiga Negara FAS 2022 pada Selasa. - fotoBERNAMA
HARIMAU Malaya dijangka tampil dengan corak permainan berbeza apabila menghadapi tugasan sulung di bawah kendalian Kim Pan Gon dalam tiga aksi persahabatan di Singapura.
Pemain sayap lincah, Safawi Rasid berkata, latihan berintensiti tinggi yang diterapkan Pan-Gon membawa banyak perubahan kepada corak permainan Harimau Malaya untuk tampil lebih sistematik.
Malah, Safawi memberitahu, barisan kejurulatihan juga banyak menekankan aspek keharmonian dalam kalangan setiap pemain supaya dapat menterjemahkan taktikal dengan lebih baik.
“Saya rasa latihan berintensiti tinggi baik untuk pasukan dan sudah pastinya perlawanan (menentang Filipina) esok akan membuatkan penyokong Malaysia gembira.
“Panggilan skuad kebangsaan kali ini sudah tentu mahu berikan yang terbaik dan tunjukkan kepada penyokong bola sepak peningkatan serta ada perubahan dalam skuad Harimau Malaya.
BACA: Era baharu, Kim Pan Gon galas harapan besar
“Jadi, latihan berintensiti tinggi untuk kami sememangnya bagus untuk meningkatkan lagi keupayaan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Dalam pada itu, Safawi berkata, dia tidak berdepan tekanan untuk bersaing merebut kesebelasan utama Harimau Malaya sekalipun sedar setiap pemain berusaha menambat hati Pan-Gon.
“Saya hanya mahu berikan yang terbaik sekiranya diturunkan pada perlawanan menentang Filipina esok dan harap (Harimau Malaya) mampu mencipta keputusan positif,” ujar bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
#harimau Malaya #Kim Pan Gon #Safawi Rasid #JDT
;