Safawi menang Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara AFC

Bernama
September 11, 2020 00:12 MYT
Ledakan gol penyerang JDT Safawi Rasid meraih Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara AFC.
Ledakan gol penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid meraih Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini.
Jaringan hasil sepakan lencong ketika menentang kelab China, Shandong Luneng dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2019 membawa tuah buat pemain berusia 23 tahun itu selepas menerima undian sebanyak 34 peratus mengetepikan sembilan lagi finalis, menurut AFC dalam laman sesawangnya.
AFC membuka undian kepada peminat bola sepak Asia selama tiga minggu untuk meraikan jaringan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara AFC sejak 10 tahun lepas.
"Ratusan ribu peminat bola sepak membuat undian daripada senarai 20 finalis separuh akhir dan dengan Liga Juara-Juara AFC disambung semula pada Isnin, kami pasti lebih banyak jaringan gol hebat daripada pesaing kelab utama Asia," menurut AFC.
Pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu pada Mei lepas turut memenangi undian gol Lencongan Terbaik Liga Juara-Juara AFC 2019 hasil ledakan kaki kirinya itu.
-- BERNAMA
#afc #Anugerah Gol Terbaik Sedekad #China #JDT #Liga Juara-Juara #Safawi Rasid #Shandong Luneng
;