Sabar... Pan Gon berusaha tumpu identiti baharu Harimau Malaya
Bernama
Mac 27, 2022 13:26 MYT
Mac 27, 2022 13:26 MYT
KUALA LUMPUR: 'Bos' baharu Harimau Malaya Kim Pan Gon sedang mengusahakan identiti baharu pasukan yang menumpukan kepada serangan bola sepak, berjanji untuk mendorong skuad agar terus meningkatkan prestasi bagi memenuhi harapan peminat.
Memohon maaf atas kesilapan dalam perlawanan Derbi Seberang Tambak malam tadi, jurulatih dari Korea Selatan berusia 52 tahun itu percaya walaupun tewas 2-1 kepada Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS 2022, pemain pasukan kebangsaan itu mampu mempamerkan aksi yang baik menentang tuan rumah dan mencipta banyak peluang.
"Bagi saya, secara amnya ia adalah permulaan yang baik, dari semasa ke semasa saya selesa di bangku simpanan. Saya sangat yakin dengan prestasi kesemua pemain, mereka hebat. Malangnya, kami tidak dapat mengubah nasib walaupun terdapat banyak peluang.
"Saya fikir kadangkala situasi ini berlaku, kita boleh belajar sesuatu daripadanya. Bagi saya, ia adalah permainan ujian yang sangat bagus, saya rasa saya lebih cenderung untuk lebih menyerang, kami cuba menjadikan identiti bola sepak Malaysia, lebih positif," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu di Stadium Nasional, Singapura.
Rakaman audio sidang akhbar itu dikongsikan kepada media oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Pemain Liga Thai, BG Pathum United Ikhsan Fandi muncul hero untuk skuad Singa, apabila menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-30 dan 76, manakala gol tunggal Harimau Malaya dijaringkan oleh pemain naturalisasi Liridon Krasniqi pada minit ke-57.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Pan Gon menzahirkan keyakinan bahawa anak buahnya boleh memenangi perlawanan itu selepas bermain di luar jangkaannya.
Beliau berkata bola sepak yang lebih bertenaga, agresif, dinamik dan proaktif adalah elemen yang cuba diterapkan dalam pasukan.
"Selama 10 hari lepas, saya gembira bersama semua pemain, tiada aduan mengenai mereka. Tetapi kami cuba untuk menyelesaikan semua program di sini, semestinya kami cuba untuk memperbaiki, lebih positif untuk prestasi pemain.
"Saya sangat menghargai saya dapat sesuatu (walaupun tidak banyak hari semasa jendela FIFA), kami gunakan peluang ini cuba untuk menambah baik. Saya rasa kami sudah bertambah baik, tetapi ini bukan destinasi kami, saya sangat positif kami boleh pergi lebih jauh," katanya.
Mengulas mengenai pemain pertahanan, Pan Gon berkata pasukan mahu mengambil risiko dengan melakukan permainan menyerang, yang akhirnya mencipta peluang kepada Singapura untuk melancarkan serangan balas.
"Anda boleh katakan, anda mahu seri dengan Singapura, saya boleh seri dengan Singapura 100 kali tetapi saya tidak mahu. Saya ingin menang dalam perlawanan, jadi kita tidak perlu takut untuk menyerang," katanya.
Selepas menewaskan Filipina 2-0 pada Selasa dan kekalahan menentang tuan rumah semalam, skuad Harimau Malaya akan menamatkan kunjungan ke Singapura dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC dalam aksi tertutup esok.
-- BERNAMA