Sabah hantar kontinjen terkuat ke SUKMA Sarawak - Hajiji

Bernama
Jun 20, 2024 07:30 MYT
Hajiji menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak daripada Abdul Karim (tiga, kiri) ketika membuat kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, semalam. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar kontinjen terkuat ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 serta Para SUKMA, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kontinjen Sabah dijangka memberikan saingan sengit kepada negeri-negeri lain termasuk tuan rumah Sarawak.
"Saya yakin penganjuran SUKMA kali ini adalah dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik," katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA ke-21 Sarawak 2024 dan Para SUKMA ke-21 di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.
Deligasi jawatankuasa itu diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.
Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA ke-21 dan Para SUKMA ke-21 Sarawak 2024.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Abdul Karim berkata edisi ke-21 temasya dwitahunan kebangsaan itu hanya tinggal 58 hari lagi dan segala persiapan sudah cukup teratur dengan penganjurannya melibatkan sembilan bahagian di Sarawak.
"Sabah merupakan negeri terakhir yang dikunjungi jawatankuasa ini selepas mengunjungi semua negeri termasuk Brunei Darussalam," katanya.
SUKMA ke-21 Sarawak 2024 berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara dan menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai.
-- BERNAMA
#Sukma Sarawak #Hajiji Noor #kontinjen Sabah #tuan rumah
;