Sabah FC terikat 2-2 dengan KL City di laman sendiri

Bernama
September 1, 2022 05:30 MYT
Pemain Sabah FC, Taesu Park (kanan) bersaing mendapatkan bola dalam saingan Liga Super Sabah FC melawan Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah FC seri 2-2 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC di gelanggang sendiri dalam satu-satunya aksi saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas di sini malam tadi.
KL City terlebih dahulu mendahului seawal minit kelima apabila pemain pertahanan Giancarlo Gallifuoco menanduk kemas bola sepakan percuma kapten Paolo Josue.
Sabah kemudian cuba mengasak bertali arus ke kubu KL City dengan beberapa cubaan bahaya ke gawang gol, namun kecekapan penjaga gol lawan Kevin Ray Mendoza berjaya menidakkan percubaan Skuad Badak.
Mendoza akhirnya tewas dengan asakan Sabah selepas dua minit separuh masa kedua bermula iaitu minit ke-47 apabila pemain pertahanan kebangsaan Dominic Tan bijak memanfaatkan kesilapan Gallifuoco dan Akram Mahinan yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu gol.
Akram menebus kesilapan itu apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Josue pada minit ke-61.
Pemain sayap lincah Saddil Ramdani muncul wira buat Skuad Badak apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma kaki kiri yang melencong menerjah gawang lawan pada minit ke-85, selepas Gary Steven Robbat dijatuhkan di luar kotak penalti.
Keputusan malam tadi menyaksikan Sabah kekal di tempat kedua dengan 36 mata daripada 17 perlawanan, manakala KL City juga kekal di tempat kelima meraih 22 mata daripada 16 perlawanan.
-- BERNAMA
#Liga Super #bola sepak #Sabah FC #KL City FC
;