Sabah FC tapis Awang import

Sinar Harian
Mac 23, 2024 09:30 MYT
Ong Kim Swee. - Foto Sinar Harian
KELAB Liga Super, Sabah FC belum memutuskan menandatangani pemain import terbaharu bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 yang membuka tirai pada Mei ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah FC ketika ini masih meneliti prestasi dan keupayaan pemain import tersebut walaupun telah menyertai sesi latihan sejak beberapa hari lalu.
Jelasnya, pengurusan pasukan juga masih belum membuat sebarang keputusan mengumumkan sama ada pemain berkenaan akan terpilih atau sebaliknya.
“Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama pasukan dan apa yang saya lihat, prestasinya cukup positif dan ini akan kita umumkan dalam masa terdekat sama ada menandatanganinya atau sebaliknya.
“Kalau kita lihat dari segi persiapan pasukan-pasukan lain, sudah tentu mereka telah bermula lebih awal lagi dan menandatangani beberapa pemain import bagi mengukuhkan pasukan dalam menghadapi Liga Malaysia musim ini” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan skuad The Rhinos masih mengekalkan pemain import sedia ada, sekali gus menetapkan sasaran lima kelompok pasukan terbaik Liga-M 2024/25.
“Kita lihat sasaran ini sangat positif dan berharap Sabah FC mampu melakukannya, seterusnya cuba memperbaiki kelemahan daripada musim liga lalu,” kata Kim Swee. - Sinar Harian
#Ong Kim Swee #Sabah FC #pemain import #Liga Malaysia
;