Sabah FC sambung kontrak Kim Swee hingga hujung musim 2024/2025

Bernama
November 5, 2024 23:25 MYT
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Sabah FC melanjutkan kontrak Ketua Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee hingga penghujung musim 2024/2025 berikutan prestasi memberangsangkan bekas pengendali skuad kebangsaan itu. - Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Sabah FC melanjutkan kontrak Ketua Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee hingga penghujung musim 2024/2025 berikutan prestasi memberangsangkan bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
Presiden SAFA Datuk Shahelmey Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata kontrak Kim Swee pada asalnya bakal berakhir pada 30 Nov ini, namun kini disambung hingga April tahun depan.
Beliau berkata khabar gembira itu membolehkan Kim Swee meneruskan momentum kemenangan dan meningkatkan prestasi terbaik pasukan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam Liga Super sebelum menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijangka bermula hujung bulan ini.
"Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Datuk Ong Kim Swee," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu, Shahelmey berkata pihak pengurusan juga berharap lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan sekali gus menambah semangat dan keyakinan pemain.
"Ini akan membantu moral pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi," katanya.
Sabah FC kini di tangga ketiga Liga Super dengan mengutip 26 mata daripada 14 perlawanan.
-- BERNAMA
#Sabah FC #sambung kontrak #Ong Kim Swee #Persatuan Bola Sepak Sabah
;