Sabah FC sahkan slot ke separuh akhir bertemu Sri Pahang FC

Bernama
Disember 23, 2024 05:30 MYT
Sabah FC mencatat agregat 1-0 dalam saingan suku akhir menentang Kuching City FC malam tadi. - Facebook Sabah FC
KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya mengesahkan slot separuh akhir Piala Malaysia bertemu Sri Pahang FC apabila mencatat agregat 1-0 dalam saingan suku akhir menentang Kuching City FC.
Pada perlawanan kedua suku akhir malam tadi, Sabah FC hanya mampu seri 0-0 menentang pasukan jiran Borneo itu di Stadium Likas di sini.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Kuching City FC lebih banyak mengatur gerakan serangan, namun pertahanan Skuad Badak yang dikemudi kapten Dominic Tan kental menyerap asakan pasukan pelawat itu.
Sabah FC gusar pada minit ke-51 apabila penjaga golnya Damien Lim dikatakan menjatuhkan Jordan Mintah dalam kotak penalti, namun pengadil Suhaizi Shukri tidak memberikan sepakan penalti selepas melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Suku akhir pertama pada 15 Dis di Stadium Negeri, Sarawak menyaksikan Sabah FC mencatat kemenangan 1-0 menentang Kuching City FC, dengan gol jaringan Muhammad Farhan Roslan.
Pada Ahad, Pahang FC yang layak ke separuh akhir selepas mengatasi Perak FC dengan agregat 4-3, sementara satu lagi saingan menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta'zim FC bertemu Terengganu FC.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #Sri Pahang FC #Sabah FC #Kuching City FC
;