Sabah berpesta gol benam Kelantan, JDT bergelut lepasi 'sekatan' PDRM
Bernama
April 19, 2023 06:00 MYT
April 19, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sabah melakar kemenangan besar pada aksi Liga Super terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri selepas membenam pasukan di kelompok dasar liga, Kelantan 6-1, pada pertembungan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Sang Badak bimbingan Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila berada di hadapan seawal minit keempat menerusi pemain tengah Daniel Ting yang tenang menyudahkan hantaran Ko Kwang Min.
Gandingan mereka nyata berbisa apabila menghasilkan gol kedua Sabah dengan Daniel menanduk masuk bola hantaran lintang Ko pada minit ke-11, namun Kelantan berjaya merapatkan kedudukan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti oleh pemain pertahanan Miguel Cifuentes pada minit ke-46.
Sabah pantas membalas gol itu dengan jaringan ketiga dua minit kemudian selepas Dominic Tan menyudahkan kesilapan pemain lawan mengeluarkan bola dalam kawasan berbahaya sebelum selesa mendahului 4-1 pada minit ke-61 menerusi kapten Baddrol Bakhtiar.
Kegagalan mengeluarkan bola dengan kemas dalam kotak penalti menghantui skuad The Red Warrios apabila kali ini giliran Stuart Wilkin mencetak nama sebagai penjaring apabila memanfaatkan peluang itu untuk jaringan kelima buat Sabah pada minit ke-75.
Pemain tengah, Telmo Castanheira, menutup tirai pesta gol Sabah pada masa kecederaan babak kedua dengan sepakan lambung yang menewaskan Mohd Farhan Abu Bakar sekali gus mengesahkan kemenangan pertama pasukan selepas empat perlawanan.
Tiga mata dikutip membolehkan Sabah memintas Kedah Darul Aman di kedudukan keempat dengan mengumpul 17 mata selepas sembilan perlawanan, 10 mata dipisahkan dengan pendahulu liga yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang turut merakam kemenangan tipis.
Skuad Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari merakam kemenangan 1-0 berdepan PDRM selepas dipaksa bekerja keras dan diberi tentangan hebat sepanjang 90 minit aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Jaringan kemenangan JDT hadir pada minit ke-61 menerusi penyudah penyerang Fernando Forestieri yang akhirnya menewaskan Nor Hakeem Hamidun selepas penjaga gol itu beraksi cemerlang termasuk menyelamatkan sepakan penalti Bergson Da Silva pada penghujung babak pertama.
PDRM terpaksa bermain dengan 10 pemain berbaki 15 minit permainan selepas pemain tengah Kyaw Min Oo dilayakan kad merah susulan mengutip kad kuning kedua.
Dalam pada itu, hasrat Perak untuk menamatkan kemarau kemenangan tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika melayani kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Perak, Ipoh.
Penyerang muda Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar meletakkan The Bos Gaurus, bimbingan Datuk Lim Teong Kim, di hadapan seawal minit ketiga sebelum pasukan tuan rumah mensia-siakan banyak peluang terhidang untuk selesa mendahului perlawanan.
Negeri Sembilan, yang lebih agresif pada babak kedua, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi penyerang gantian Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sekali gus menyelamatkan pasukan daripada pulang dengan tangan kosong.
-- BERNAMA