Ryan Lochte mohon maaf atas tingkah laku dan insiden 'rompakan'

Syafique Shuib
Ogos 20, 2016 12:27 MYT
Ryan Lochte berharap perhatian diberikan kepada persembahan hebat di Olimpik Rio yang akan menutup tirai pada 21 Ogos. -Gambar: AFP PHOTO/MARTIN BUREAU
AKHIRNYA perenang Amerika Syarikat Ryan Lochte membuka mulut dan memohon atas insiden ‘rompakan’ yang berlaku pada Ahad.
Lochte memuat naik satu kenyataan di Instagram, di mana beliau ingin memohon maaf kerana tidak berhati-hati dan berterus terang tentang insiden yang berlaku minggu lalu.
“Agak trauma apabila anda keluar bersama-sama rakan-rakan anda pada awal pagi di negara asing dan tidak fasih bahasa tempatan, dan ada orang asing acu pistol ke arah anda.
“Tidak kira tingkah laku orang lain pada malam itu, saya sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan tindakan saya. Dengan itu saya memohon maaf kepada rakan senegara saya, peminat saya, pesaing saya, penaja saya dan juga hos temasya ini,” tulis Lochte di Instagram.
Beliau juga berharap perhatian diberikan kepada persembahan hebat di Olimpik Rio yang akan menutup tirai pada 21 Ogos.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik AS Scott Blackmun dalam satu kenyataan berkata peristiwa itu tidak seharusnya berlaku dan memohon maaf kepada tuan rumah Brazil.
"Kami memohon maaf kepada tuan rumah di Rio dan rakyat Brazil atas insiden ini ketika kita sepatutnya meraikan sambutan kecemerlangan."
Empat perenang Amerika Syarikat, termasuk pemenang enam pingat emas Lochte, menjadi perhatian media di Brazil setelah mendakwa mereka dirompak dengan pistol di sebuah stesen minyak Rio pada awal pagi Ahad.
Pada Rabu, seorang hakim di Brazil mengeluarkan perintah menghalang keempat-empat atlet renang AS itu daripada keluar dari Brazil ketika laporan mereka disamun itu disiasat.
Polis Brazil pada Khamis pula mendakwa keempat-empat atlet AS itu mabuk dan terlibat dalam pertelingkahan dengan kakitangan keselamatan selepas merosakkan bilik mandi di sebuah stesen minyak ketika mereka keluar ke bandar pada satu malam.
Blackmun memaklumkan bahawa atlet renang AS itu, setelah disoal siasat pada Khamis, mengesahkan versi laporan pihak polis.
#Gunnar Bentz #Jack Conger #Olimpik #renang amerika syarikat #Rio 2016 #Ryan Lochte #Scott Blackmun