Ryan Lambert ledak hatrik, KL City menang bergaya di Cheras
Astro Arena
September 28, 2022 00:37 MYT
September 28, 2022 00:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC memperoleh kemenangan bergaya apabila membenam Sarawak United 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras sebentar tadi.
Hadir ke perlawanan di laman sendiri susulan kekalahan 1-0 kepada Penang dalam aksi terdahulu, skuad kendalian Bojan Hodak mencari ramuan terbaik serta suntikan moral menjelang pertemuan dengan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jazakh pada aksi Final Antara Zon Piala AFC, pada 5 Oktober depan.
Dan seperti yang dijangka, perlawanan berjaya memihak tuan rumah apabila membuka jaringan seawal minit ke-28, gerakan The City Boys daripada sebelah sayap kiri bijak disempurnakan oleh Paulo Josue.
KL City menggandakan jaringan seminit kemudian apabila Ryan Lambert melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.
Kedudukan menjadi tiga jaringan tanpa balas apabila Ryan sekali lagi menemui jaringan, mendapatkan bola daripada luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang gagal dinafikan Sharbinee.
Perlawanan ini ternyata cukup indah buat Ryan apabila dia melengkapkan hatrik pada minit ke-52, Josue bijak mencari Ryan untuk melakukan rembatan kencang menembus gawang Sarawak United buat kali keempat.
Pemain gantian, Jordan Mintah melengkapkan kemenangan berjaya KL City apabila mudah menampan masuk hantaran daripada Kenny Palraj lima minit sebelum tamat permainan.
Kemenangan ini menyaksikan KL City mengumpul 29 mata selepas 20 perlawanan dan menghuni tangga kelima.