RWC 2019: Springboks mara ke suku akhir

Astro Awani
Oktober 8, 2019 00:54 MYT
Afrika Selatan menghuni tangga pertama Pool B selepas membelasah Kanada 66-7 dalam perlawanan Piala Dunia Ragbi 2019. - Foto AP
AFRIKA Selatan menghuni tangga pertama Pool B selepas membelasah Kanada 66-7 dalam perlawanan Piala Dunia Ragbi 2019 yang berlangsung di Stadium Kobe Misaki pada Selasa.
Keputusan itu menyaksikan Springboks yang menamatkan empat perlawanan di peringkat kumpulan menjadi pasukan pertama Pool B layak ke saingan suku akhir.
Skuad bimbingan Rassie Erasmus selesa mendahului pasukan ranking ke-22 dunia itu pada separuh masa pertama dengan 47 tanpa balas.
Sepanjang 40 minit pertama Springboks memperolehi tujuh tries dengan Elton Jantjies menyempurnakan enam conversion.
Kanada beraksi empat minit terakhir separuh masa pertama dengan 14 pemain apabila Josh Larsen dibuang padang selepas didapati bersalah melakukan asakan dengan menggunakan bahu ke arah kepala dan leher prop Afrika Selatan.
Sebaik babak kedua bermula, Kanada cuba bangkit dan berjaya memperolehi satu try pada minit ke-45 serta menyempurnakan satu conversion.
Bagaimanapun, Springboks terus menambah mata dengan memperolehi tiga tries dan dua conversion sehingga tamat perlawanan.
New Zealand yang menghuni tangga kedua Pool B mengumpul 14 mata iaitu satu mata di belakang Afrika Selatan.
All Blacks dijadualkan beraksi dalam perlawanan terakhirnya peringkat kumpulan menentang Itali pada 12 Oktober ini.
#Africa Selatan #Elton Jantjies #Kanada #piala dunia ragbi #Pool B #Rassie Erasmus #RWC 2019 #springboks
;