RWC 2019: Perancis berhempas pulas tundukkan Argentina
Afiq Ariffin
September 21, 2019 19:15 MYT
September 21, 2019 19:15 MYT
Perancis terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya menewaskan Argentina 23-21 dalam saingan Pool C, Piala Dunia Ragbi 2019.
Perancis yang berada di ranking kelapan dunia menguasai 40 minit pertama dengan mendahului 20-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tokyo.
Dua try Perancis disumbang Gael Fickou dan Antoine Dupont pada minit ke-17 dan 21.
Babak pertama turut menyaksikan masing-masing dua conversion dan dua penalti disempurnakan Les Bleus.
Bagaimanapun sebaik babak kedua Argentina mula menggandakan asakan dengan memperolehi dua try, satu conversion dan dua penalti.
Untuk seketika, Los Pumas yang berada di kedudukan ke-11 dunia seakan mampu membuat kejutan apabila mendahului dengan kedudukan 21-20 hasil sepakan penalti Benjamin Urdapilleta pada minit ke-68.
Bagaimanapun sepakan drop goal Camille Lopez seminit kemudian membolehkan Perancis kembali di hadapan 23-21 dan keputusan kekal sebaik wisel penamat ditiupkan.