RWC 2019: Jepun kejutkan Ireland 19-12
Fareez Azman
September 28, 2019 19:18 MYT
September 28, 2019 19:18 MYT
Tuan rumah pasukan Jepun melakar sejarah apabila menundukkan pasukan pilihan Ireland 19 -12 dalam perlawanan pool A Kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019, yang berlangsung di stadium Shizuoka Ecopa pada Sabtu.
Keputusan itu menyaksikan Jepun mendahului pool A dengan sembilan mata berbanding Ireland yang memperolehi 6 mata.
Separuh masa pertama Ireland yang menduduki ranking ke-4 dunia ketika ini mendahului Jepun 12-9 selepas menyempurnakan dua try dan satu conversion.
Sepanjang tempoh itu Jepun terus mengekori rapat apabila memperolehi sembilan mata selepas Yu Tamura menyempurnakan tiga sepakan penalti.
Sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan, Jepun seakan menemui rentak apabila tidak memberi peluang kepada Ireland meraih sebarang mata.
Pada minit ke 58, try yang disempurnakan Kenki Fukuoka meletakkan Jepun di hadapan dengan 14-12.
Yu Tamura terus menambah tekanan terhadap Ireland apabila tendangannya menerusi conversion dan penalti menyumbang lima mata berharga.
Keputusan penuh Jepun 19 Ireland 12.