RWC 2019: England tepati ramalan menang besar lawan USA

Fareez Azman
September 26, 2019 21:51 MYT
Pasukan rangking ke 3 England tepati ramalan menang besar lawan Amerika Syarikat 45-7 Foto : Twitter@rugbyworldcup
England meraih lima lagi mata selepas menang besar menentang pasukan Amerika Syarikat dalam Kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019 di Stadium Kobe Misaki pada Khamis.
Pasukan pilihan itu mendominasi separuh masa pertama apabila berjaya meraih 19 mata.
Tujuh mata pertama disumbangkan pemain George Ford menerusi try dan conversion hanya enam minit selepas perlawanan bermula.
Ia diikuti tujuh lagi mata yang dikutip hasil try dari Billy Vunipola pada minit ke-24 dan satu lagi conversion oleh Ford.
Luke Cowan Dickie terus menjarakkan kedudukan England dengan try pada minit ke-32 sebelum separuh masa pertama berakhir.
England yang mendominasi perlawanan dilihat terus menghukum Amerika Syarikat apabila empat try dan tiga conversion berjaya dihasilkan pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun pemain Amerika Syarikat Bryce Campbell berjaya memecah kebuntuan dengan menyumbang lima mata kepada pasukannya menerusi percubaan pada minit ke-81.
Serangan balas Amerika Syarikat membuahkan hasil dengan dua mata tambahan selepas AJ MacGinty menyempurnakan conversion selang seminit selepas itu.
Namun pasukan ranking ke-13 itu terpaksa akur dengan keputusan akhir 45-7 yang memihak kepada England.
#2019 #Amerika Syarikat #England #Kobe #Menang besar #Piala Dunia #Ragbi #RWC 2019 #Tokyo
;