Rusuhan penyokong: FAS dijangka berdepan hukuman berat
Astro Awani
September 2, 2014 19:10 MYT
September 2, 2014 19:10 MYT
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bakal berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandangkan rusuhan penyokong pada 30 Ogos lalu bukan insiden pertama membabitkan pasukan itu.
FAS pada 2012 pernah didenda sebanyak RM75,500 atas dua insiden yang merujuk kepada kegagalan mengawal keselamatan membabitkan penyokongnya.
Rusuhan pada Sabtu, selepas pertemuan menentang Perak dalam aksi Piala Malaysia, bagaimanapun menyaksikan pelbagai kombinasi kesalahan selain kegagalan FAS mengawal keselamatan di dalam dan di luar stadium.
FAM, dalam mengambil pendekatan mengkaji laporan insiden itu secara menyeluruh, tidak menolak kemungkinan Sarawak akan menerima hukuman paling berat, termasuk didenda selain terpaksa beraksi di stadium berkecuali untuk aksi musim depan.
FAM pada masa sama menegaskan akan terus memperkasa kempen “Love Football, Stop Hooliganism” yang dilancarkan musim ini ketika belum pun ada petanda gejala keganasan penyokong mampu dibendung.