#Rusia2018: 'Rusia bukan musuh dunia', kata Duta Besar Rusia ke Malaysia
Ian Johan Ariff
Jun 1, 2018 22:52 MYT
Jun 1, 2018 22:52 MYT
Piala Dunia FIFA Rusia 2018 adalah peluang terbaik untuk Rusia membuktikan kepada dunia bahawa mereka bukan musuh dunia.
Itulah harapan yang disampaikan Duta Besar Rusia ke Malaysia, Valery Yermolov.
Bagi Yermolov, pengunjung yang datang ke Rusia dapat menjadi saksikan kepada budaya, sejarah, keindahan bandar dan alam semula jadi di negara itu.
“Saya menjangkakan Piala Dunia ini dapat menyumbang kepada kemajuan hubungan Rusia dengan negara lain, menggalakkan persahabatan dan hubungan dengan negara lain.” kata Yermolov.
Yermolov ditemui selepas sidang media khas Piala Dunia FIFA Rusia 2018 di Pusat Sains & Budaya Rusia di Kuala Lumpur.
Visa lawatan dikecualikan kepada penyokong bola sepak yang akan meononton perlawanan bola sepak di Rusia tetapi mereka perlu memohon kad pengenalan khas yang dikenali sebagai ‘Fan-ID’.
Fan-ID diperlukan untuk akses masuk ke dalam stadium bersama-sama dengan tiket.
Bagi pelancong biasa, visa pelancong boleh dimohon secara percuma sepanjang temasya Piala Dunia itu berlangsung di Rusia.
Bagi pasukan tuan rumah yang akan bersaing di halaman sendiri, ia juga peluang terbaik untuk mereka menyerlah.
Namun Yermolov tidak pasti sama ada Rusia mampu menjadi salah satu pasukan bertaraf bintang di temasya itu nanti.
"Malangnya, pasukan bola sepak Rusia tidak berada dalam prestasi terbaik. Dua hari lalu kami kalah kepada Austria, bukan pasukan yang terkuat di dunia," jelas Yermolov.
Ramai penganalisis menjangkakan Rusia akan jadi negara tuan rumah yang kedua gagal layak ke pusingan kalah mati kejohanan, selepas Afrika Selatan pada 2010.
Rusia belum capai sebarang kemenangan dalam enam perlawanan lepas, termasuk kalah 0-1 kepada Argentina dalam satu perlawanan persahabatan di Moscow, yang disaksikan 80,000 penonton.
Pencapaian terbaik Rusia yang terbaharu adalah seri 3-3 dengan Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan di Saint Petersburg pada 17 November tahun lepas.
Rusia akan bertemu Turki dalam satu lagi perlawanan persahabatan sebelum menentang Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Rusia 2018 pada 14 Jun 2018.
#Afrika Selatan
#austria
#FIFA
#Moscow
#Piala Dunia
#Rusia 2018
#Saint Petersburg
#sepanyol
#Valery Yermolov