Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil perlu lebih masa untuk matang - TMJ

Bernama
Oktober 13, 2023 06:10 MYT
Pada Khamis, Tunku Ismail merasmikan padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. - Facebook HRH Crown Prince of Johor
KUALA LUMPUR: Padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini masih memerlukan masa dua hingga tiga bulan sebelum ia sedia digunakan, menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
TMJ menyuarakan pendapat berkenaan di laman X, susulan kualiti permukaan padang di Stadium Nasional itu yang baru dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dipersoal peminat bola sepak tanah air selepas perlawanan Pestabola Merdeka 2023, malam tadi.
Rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian semasa perlawanan Malaysia menewaskan India 4-2 pada aksi pertama kejohanan tersebut.
TMJ memaklumkan padang baharu itu sepatutnya diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi JDT, di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
"Tetapi pasukan kebangsaan nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa," menurutnya ketika membalas hantaran seorang pengguna yang mempersoalkan keadaan padang tersebut.
Pada Khamis,TMJ, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), merasmikan padang baharu itu dengan proses penukaran rumput ditaja oleh beliau. -- BERNAMA

Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi national team nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang kurangnya lagi 2 atau 3 bulan. Kontraktor ni https://t.co/QQJTvpXCLE

— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 13, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul betul. Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ tak ada TMJ di situ, itu aja. @FAM_Malaysia kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan. pic.twitter.com/qWDcgUE4yN

— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 13, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Stadium Nasional Bukit Jalil #padang baharu #rumput
;