RTT: Menteri tuntut komitmen tinggi patuhi SOP

Astro Arena
Mei 20, 2020 08:29 MYT
REEZAL MERICAN: Apa pun yang ingin dilakukan, kami perlu mendapatkan kelulusan daripada KKM dan MKN. - Gambar fail
PENGGIAT sukan negara menerima nafas baharu apabila atlet yang terbabit dalam Program Road to Tokyo (RTT) diberikan lampu hijau.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di Putrajaya semalam, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menerima permohonan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, apabila memberi kelonggaran khas buat atlet RTT kembali berlatih pada 1 Jun depan ketika dunia masih diselubungi wabak novel koronavirus (COVID-19).
Ia bakal membabitkan 265 individu bagi memastikan 57 atlet mendapat manfaat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2021 di tiga kem latihan berpusat.
Secara keseluruhannya, ia mungkin melibatkan sekitar 140 orang termasuk atlet sokongan dan jurulatih selain mereka yang terlibat dengan sokongan perkhidmatan; pemakanan, logistik, keselamatan, tukang urut dan pakar fisioterapi.
Seperti yang dicadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hanya Kompleks Sukan Bukit Jalil yang mampu menempatkan jumlah berskala besar iaitu seramai 181 atlet, jurulatih termasuk pegawai, tetapi ia masih relevan dengan keluasan dan fasiliti yang ditawarkan, manakala bakinya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.
Namun, komitmen tinggi dituntut menerusi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang menyaksikan KBS akan menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari.
Ini bermakna semua atlet dan mereka yang terbabit tidak boleh meninggalkan pusat latihan dalam tempoh tersebut -- sekali gus membolehkan tempoh dua kali inkubasi.
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah saringan COVID-19 pada hari pendaftaran dan keputusan segera akan diperoleh, mereka yang negatif dibenarkan meneruskan latihan manakala yang positif akan dibawa ke hospital.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan melakukan saringan semula sebelum atlet menamatkan latihan.
Dalam satu temu bual khas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican, bersama penyampai Astro Arena, Akbar Sahari, beliau mengulas lanjut mengenai SOP RTT tersebut.
"Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dikuatkuasakan adalah bagi tujuan keselamatan bagi menghalang penularan wabak COVID-19. Bukan bererti tidak boleh ada pengecualian, sebab itu saya perlu kemukakan SOP untuk mendapatkan kelonggaran.
"Ia memerlukan satu proses yang boleh memberi keyakinan kepada pihak kerajaan iaitu apabila PKP diberi kelonggaran, ia tidak membawa kepada kebarangkalian jangkitan itu kembali.
"Ia akan menjadikan keadaan kita jauh lebih teruk, sebab itu kita perlu patuh.
"Ini bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai menteri belia dan sukan, Akta 342 ini adalah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Apa pun yang ingin dilakukan, kami perlu mendapatkan kelulusan daripada KKM dan MKN," katanya.
Sementara itu, Reezal turut berkongsi harapan mengenai misi negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.
"Dalam 20 kejohanan yang disertai jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, sepanjang 2019, 14 daripadanya berakhir di podium. Ini bermakna dia di tahap kemuncak prestasi untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik.
"Selain itu, jangan dilupakan badminton. Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, semakin meningkat malah mungkin boleh mencabar emas.
"Jangan pandang remeh kepada badminton. Dia mengalahkan Jonatan Christie dan Chen Long dalam Kejohanan Seluruh England malah hanya tewas tipis kepada Viktor Axelsen.
"Ketika ini dia dianggap sebagai pesaing yang cukup hebat."
#atlet #Azizulhasni Awang #badminton #basikal #COVID-19 #ismail sabri yaakob #jangkitan #kelonggaran khas #kembali berlatih #KKM #MKN #PKP #PKPB #Reezal Merican Naina Merican #Road to Tokyo #RTT #saringan #SOP #Sukan Olimpik Tokyo #Sukan Paralimpik Tokyo
;