RTG: Situasi Azizulhasni Awang terima kepercayaan penuh atas saranan pasukan perubatan
Astro Arena
Februari 6, 2024 09:10 MYT
Februari 6, 2024 09:10 MYT
PENYELARAS program Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam, memaklumkan pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada ketua jurulatih, John Ceasley dan Datuk Azizulhasni Awang, berhubung soal keadaan kesihatan jaguh berbasikal trek negara itu.
Stuart percaya semua pihak yang terlibat dalam pasukan kebangsaan akan meletakkan kondisi kesihatan Azizulhasni sebagai keutamaan meskipun dia kini dalam persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
RTG akan terus memantau perkembangan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu dari semasa ke semasa demi memastikan pelumba berumur 36 tahun itu berada di tahap terbaik menjelang Julai depan.
Stuart turut mengakui semangat juang serta mentaliti yang dimiliki The Pocket Rocketman wajar dijadikan contoh kepada atlet lain terutama barisan atlet pelapis.
Terdahulu, pelumba kelahiran Terengganu itu menarik diri bagi aksi penentuan pingat gangsa acara pecut individu lelaki Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Adelaide, Australia susulan simptom perikarditis.
"Saya menaruh kepercayaan penuh kepadanya atas nasihat pasukan perubatan.
"Saya selalu mendapatkan kemas kini balas daripada ISN untuk memahami keadaannya.
"Azizulhasni antara atlet yang memahami keadaan dan keperluan untuk ke Olimpik.
"Persediaannya di Australia ketika ini adalah untuk ke Paris.
"Kami menyokong penuh hala tuju dan keutamaan Azizulhasni," kata Stuart kepada Nadi Arena malam tadi.