Rozi Yanti stabil di unit rawatan rapi

Astro Arena
September 6, 2015 08:55 MYT
Laporan awal polis sebelum ini menyebut Nur Rozi Yanti terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring yang mengekorinya.
Pelumba pelapis berbasikal lebuh raya negara, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang terlibat dalam kemalangan semalam kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.
Jurulatih pasukan pelapis kebangsaan, Suod Hussain berkata pelumba yang berasal dari Perlis itu masih berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kajang.
"Saya dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa beliau telah kembali sedar dan bercakap namun beliau dikomakan untuk sementara waktu bagi merehatkannya.
Doktor juga mengesahkan bahawa tiada berlaku pendarahan dalaman.
"Luka di bahagian mulutnya telah dijahit bagi menggelakkan jangkitan kuman," kata Suod Hussain.
Pelumba berusia 17 tahun itu terlibat dalam kemalangan di KM19, Lebuhraya SILK Kajang pada pukul 9.45 pagi semalam ketika menjalani latihan bersama pelumba lain.
Laporan awal polis sebelum ini menyebut Nur Rozi Yanti terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring yang mengekorinya.
#Hospital Kajang #Lebuhraya SILK Kajang #Nur Rozi Yanti Mat Rodzi #Suod Hussain