Roslin seru kebangkitan skuad perseorangan

Astro Arena
September 27, 2018 05:23 MYT
Malaysia perlu segera ketengahkan nama baharu untuk meneruskan legasi Datuk Lee Chong Wei. - Gambar hiasan
SUDAH tiba waktu buat pemain badminton perseorangan negara yang diklasifikasikan sebagai berbakat untuk memikul tanggungjawab meneruskan legasi Datuk Lee Chong Wei tatkala masa depan bintang nombor satu kebangsaan itu masih samar.
Bekas pemain perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, memandang kepada tiga pemain sebagai wakil yang berupaya menjadi tonggak negara pada masa depan.
Mereka adalah juara Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Tan Jia Wei, juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, dan pemain skuad Piala Thomas 2018, Lee Zii Jia.
Namun, barisan pemain itu perlu segera sedar daripada keselesaan bergelar bakat muda sambil keperluan untuk pemegang taruh badminton negara harus terus percaya dengan kemampuan ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, membimbing mereka.
"Jika dilihat secara peribadi, pemain-pemain negara ketika ini memang berbakat tetapi terpulang kepada mereka setakat mana mereka mahu melangkah," ujar Roslin.
"Seperti yang kita tahu dan mereka juga sedar, ini adalah kerjaya mereka. Memang masih terlalu awal untuk menjangkakan kejayaan daripada mereka tetapi harus diakui bahawa peningkatan dapat dilihat dalam kem perseorangan ketika ini.
"Untuk sampai ke tahap yang lebih tinggi, masa perlu diberikan kepada mereka," tambahnya.
#badminton #jaguh negara #Lee Chong Wei #pemain perseorangan #Roslin Hashim
;