Rooney sudi kemudi Derby dalam divisyen ketiga
Astro Arena
April 19, 2022 12:25 MYT
April 19, 2022 12:25 MYT
WAYNE Rooney memberi isyarat bahawa dia ingin kekal mengemudi Derby County dalam saingan Liga Satu dan berbangga dengan pasukannya walaupun mereka sah tergelincir ke divisyen ketiga.
The Rams akan beraksi di peringkat bawahan itu buat kali pertama sejak musim 1985-86 selepas tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) di Loftus Road, hujung minggu lalu.
Derby bernasib malang apabila dipotong sejumlah 21 mata musim ini -– 12 mata kerana memasuki pentadbiran pada September lalu serta sembilan mata lagi kerana melanggar peraturan kewangan Liga Bola Sepak di bawah bekas pemilik, Mel Morris -– dan masih gagal mengatasi halangan besar itu walaupun menghasilkan keputusan memberangsangkan di atas padang.
Ditanya mengenai tanggapan awalnya selepas penyingkiran itu disahkan, bekas kapten Manchester United dan England tersebut tetap berbangga dengan usaha anak buahnya sambil menekankan betapa pentingnya pengambilalihan kelab berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Saya bangga,” katanya kepada Sky Sports.
“Ia satu perasaan yang pelik berdasarkan segala yang telah kami lalui sebagai satu kumpulan, baik pemain di atas padang, kakitangan mahupun peminat, perkembangan pasukan sangat positif.
"Ya, kami telah tersingkir tetapi saya tidak pernah melihat sebarang penurunan dan mendapat reaksi menarik daripada peminat. Saya fikir sokongan yang diberikan penyokong kepada pemain sepanjang musim luar biasa.
"Sudah tentu, saya kecewa, sedih, terkilan, tetapi bangga. Di sudut yang lain, kami berdepan segala yang terjadi dan mula membina semula kelab dan cuba memajukan kelab ini.
"Kami memerlukan pengambilalihan untuk berlaku, ia perlu berlaku dengan pantas. Lebih segera ia berlaku, lebih cepat kami boleh mula membangunkan pasukan dan membawa masuk pemain yang boleh melonjakkan kami kembali."