Rooney anggap faktor umur sekat Cristiano Ronaldo julang Man Utd
Astro Arena
April 5, 2022 11:45 MYT
April 5, 2022 11:45 MYT
WAYNE ROONEY percaya kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United tidak membuahkan hasil sambil mencadangkan bekas kelabnya itu menumpukan perhatian kepada pemain muda dan dahagakan kejayaan demi perancangan masa depan.
Mereka pernah bergandingan ketika penggal pertama Ronaldo bersama The Red Devils apabila memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu Liga Juara-Juara (UCL).
Bagaimanapun, walaupun pemain berusia 37 tahun itu menyumbangkan 18 gol dalam 32 perlawanan sejak kembali ke Old Trafford, United sekali lagi mengharungi musim suram.
Kelab itu tersingkir daripada semua perebutan piala dan menduduki tempat ketujuh EPL selepas seri 1-1 menentang Leicester City, kelmarin.
Bercakap sebagai tetamu di Sky Sports' Monday Night Football, Rooney ditanya sama ada dia bersetuju dengan aspek yang ditekankan rakan pemerhati bola sepak, Jamie Carragher, bahawa pembelian Ronaldo merupakan satu kesilapan.
Apabila ditanya, 'Adakah ia berkesan?', Rooney menjawab: "Ketika ini saya perlu katakan tidak.
“Dia menjaringkan gol, gol penting dalam UCL pada awal musim ini.
“Dia melakar hatrik ke atas Tottenham tetapi saya fikir jika anda melihat masa depan kelab, anda perlu menandatangi pemain yang lebih muda dan dahagakan kejayaan yang mampu menggalas tanggungjawab di Manchester United dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Jelas sekali umur Cristiano semakin meningkat, sudah tentu dia bukan pemain seperti ketika berusia 20-an dan itulah yang berlaku, itulah bola sepak.
"Dia adalah ancaman gawang lawan tetapi dalam soal permainannya, saya rasa ia memerlukan lebih banyak usaha lagi. Saya fikir mereka memerlukan pemain muda yang dahagakan kejayaan."