Rooney akur kenapa dia tersisih
Astro Arena
Oktober 5, 2016 11:02 MYT
Oktober 5, 2016 11:02 MYT
KAPTEN Manchester United, Wayne Rooney, tiada rungutan kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama dan bersemangat untuk menggunakan peluang apabila mendapatnya.
Walaupun dia bermula dalam perlawanan Piala EFL, Rooney diketepikan berikutan kekalahan 1-3 United di Watford bulan lalu.
Pemain antarabangsa England itu memahami keputusan pengurus, Jose Mourinho, selepas prestasinya di Vicarage Road.
“Saya mengharungi perlawanan yang buruk di Watford. Saya tidak beraksi dengan baik, saya tahu itu dan memahaminya,” kata Rooney kepada akhbar The Independent.
“Saya fikir jika dia memilih pasukan berikutnya berdasarkan perlawanan menentang Watford, saya faham kenapa saya tidak bermain. Pasukan telah beraksi dengan baik, terutama dalam perlawanan menentang Leicester selepas itu.
"Saya faham saya perlu bekerja keras dan cuba untuk kembali dan cuba mendapatkan peluang dan menggunakannya.”
Mourinho telah mencadangkan Rooney kembali daripada rehat antarabangsa sebelumnya sebagai pemain yang berbeza, dengan United tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Sewaktu pemain berusia 30 tahun itu direhatkan, skuad kendalian Mourinho telah meraih kemenangan ke atas Leicester City dan Zorya selain terikat seri dengan Stoke City.
“Pasukan telah kembali dengan berbeza,” kata Rooney.
"Tentunya, saya telah melakukannya banyak kali dalam kerjaya saya tapi kami perlu bekerja sebagai sebuah pasukan untuk cuba meraih kemenangan dan jika saya berada di bangku pemain simpanan, biarlah.
“Saya akan berjuang, bukan untuk tempat saya tapi untuk cuba masuk ke dalam pasukan semula.”