Ronaldo tenang dalam menghadapi tekanan

Ian Johan Ariff
April 12, 2018 15:09 MYT
Cristiano Ronaldo sudah menjaringkan 41 gol musim ini. - Foto REUTERS/Susana Vera
CRISTIANO Ronaldo menjadi wira Real Madrid untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi, dengan menjaringkan gol penting untuk pasukannya menerusi tendangan penalti pada minit ke-97 permainan
Disebalik situasi yang tegang dan panas selepas sepakan penalti itu diberikan pengadil Michael Oliver, Ronaldo kekal bertenang untuk menggalas tanggungjawab besar pasukan itu.
Perlawanan yang bermula dengan kehebatan Juventus mencari gol di tempat lawan untuk menyamakan kedudukan, berakhir dengan insiden protes terhadap keputusan Oliver yang menghadiahkan penalti tersebut.
Oliver tiada pilihan selain memberikan penalti tersebut selepas mendapati pemain Juventus, Medhi Benatia menolak Lucas Vazquez, yang mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol untuk Madrid.
Protes yang keras oleh pemain-pemain Juventus menyaksikan penjaga gol legenda pasukan itu, Gianluigi Buffon dibuang padang, yang kemudian mengutuk Oliver sebagai seorang yang tidak berhati perut dan sengaja menghancurkan impian pasukannya.
Bagi Buffon, insiden itu sepatutnya diragui kerana kesalahan yang dilakukan tidak begitu jelas dan Oliver sepatutnya berada di tempat duduk penonton dan bukan jadi seorang pengadil bola sepak.
Bekas pemain Arsenal, Wojciech Szczesny yang mengambil tempat Buffon, gagal menghalang sepakan penalti Ronaldo yang amat kencang menerjah penghujung atas gawang.
Ramai yang memuji keberanian pemain terbaik dunia FIFA 2017 itu kerana mengambil sepakan tersebut dengan tenang kerana ia amat penting untuk memastikan Real mara ke separuh akhir.
Antaranya bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand, yang memuji Ronaldo kerana berjaya menyerap tekanan yang dihadapi dalam mengambil sepakan penting itu.
Dalam perlawanan suku akhir kedua itu, Juventus yang ketinggalan 0-3 akibat kekalahan di Turin minggu lepas, berjaya menyamakan kedudukan agregat, hasil dua gol daripada Mario Mandzukic dan gol penyamaan dijaringkan Blaise Matuidi.
Penalti Ronaldo dalam masa kecederaan itu memastikan Real mara dengan agregat 4-3.
Turut mara ke separuh akhir, kelab Jerman Bayern Munich yang berjaya mempertahankan kelebihan kemenangan 2-1 di Seville ke atas Sevilla dengan keputusan seri tanpa jaringan di Munich.
Dua lagi pasukan yang mara adalah Liverpool, yang menewaskan Manchester City dengan agregat 5-1 dan AS Roma yang bangkit semula untuk mengalahkan Barcelona dengan kelebihan gol di tempat lawan, walaupun agregat terikat 4-4.
#AS Roma #barcelona #Bayern Munich #Cristiano Ronaldo #FIFA 2017 #Gianluigi Buffon #Juventus #Liverpool #Lucas Vazquez #Manchester City #Mario Mandzukic #Medhi Benatia #Michael Oliver #Real Madrid #Sevilla #UCL #Wojciech Szczesny
;