Ronaldo sokong gesaan supaya Brazil lantik pengurus asing

Bernama
Disember 13, 2022 16:22 MYT
Ronaldo juga berkata beliau yakin Neymar akan bermain semula untuk Brazil selepas penyerang Paris Saint-Germain itu meningkatkan prospek menamatkan kerjaya antarabangsanya.- Gambar REUTERS
DOHA: Legenda bola sepak Brazil Ronaldo menyokong gesaan supaya Brazil melantik pengurus asing ekoran penyingkiran pasukan itu daripada Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.
Kekalahan suku akhir kepada Croatia menerusi sepakan penalti pada Jumaat menyaksikan kegagalan kali kelima berturut-turut Brazil pada kejohanan bola sepak di tangan pasukan Eropah.
Tite mengulangi keputusan yang diumumkan sebelum ini untuk berundur selepas Piala Dunia, berkata "kitaran telah tamat" selepas perlawanan di stadium Education City di Doha.
"Saya mahu melihat nama seperti (Pep) Guardiola, (Carlo) Ancelotti atau (Jose) Mourinho melatih Brazil," lapor Xinhua memetik Ronaldo sebagai memberitahu pemberita di sini. "Namun saya tidak boleh membuat pilihan, kita tunggu apa yang akan berlaku. Nama-nama ini muncul di Brazil, tetapi saya tidak tahu sama ada ia benar.
"Saya tidak nampak masalah jika Brazil mempunyai jurulatih asing. Akan ada banyak perbincangan mengenai siapa yang akan menjadi jurulatih Brazil seterusnya. Saya melihat nama-nama ini disenangi."
Ronaldo yang memenangi Piala Dunia bersama Brazil pada 1994 dan 2002, berkata Brazil telah menanggung akibat daripada pertahanan yang lemah yang membawa kepada gol penyamaan Croatia pada minit ke-116 oleh Bruno Petkovic.
Neymar meletakkan pasukan Amerika Selatan itu kehadapan pada minit ke-106 dengan memulakan dan menyumbat gol pasukan selepas kedudukan terikat 0-0 pada penghujung masa permainan biasa.
"Kami gagal memperoleh jaringan pada masa tambahan," kata Ronaldo. "Kami perlu lebih bijak, itu satu-satunya yang kami perlukan untuk mengatasi keputusan seri."
Ronaldo juga berkata beliau yakin Neymar akan bermain semula untuk Brazil selepas penyerang Paris Saint-Germain itu meningkatkan prospek menamatkan kerjaya antarabangsanya.
"Dia sangat kecewa dengan keputusan itu," kata Ronaldo. "Itu perkara biasa yang dialaminya sekarang, dan saya pasti beliau akan kembali lebih kuat dan terus bermain untuk Brazil. Dia masih muda dan boleh bermain di Piala Dunia akan datang. Saya bangga dengan komitmennya dalam enam bulan terakhir bersama Brazil.
"Dia bermain dengan hebat dalam perlawanan pertama, cedera buku lali dan membuat banyak pengorbanan untuk bermain untuk pasukan kebangsaan sekali lagi. Dia sangat penting untuk kami dan saya berharap dia kembali lebih kuat tidak lama lagi," kata Ronaldo.
-- BERNAMA
#FIFA #Piala Dunia #Brazil #Cristiano Ronaldo
;