Ronaldo raikan gol ke-501
Astro Arena
Oktober 1, 2015 10:00 MYT
Oktober 1, 2015 10:00 MYT
Kemenangan Real Madrid ke atas Malmo dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi memberi makna tersendiri buat Cristiano Ronaldo yang melepasi rekod 500 gol dalam kariernya.
Pemenang dua kali Pemain Terbaik Dunia itu menyumbat dua gol ke atas wakil Sweden itu selepas memanfaatkan umpanan Isco pada minit ke-29 dan Lucas Vazquez pada penghujung perlawanan untuk menjaringkan gol ke-501 peribadinya dan merupakan jaringan ke-323 bersama gergasi Sepanyol itu.
Ini bermakna dia menyamai rekod pemain legenda Raul Gonzalez di Santiago Bernabeu dengan hanya melibatkan 308 perlawanan, sementara Raul melakukannya dalam 741 perlawanan.
Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone tidak panik susulan kekalahan 2-1 anak buahnya kepada Benfica di tempat sendiri aksi dalam Kumpulan C.
Nicolas Gaitan dan Goncalo Guedes memadamkan gol pendahuluan Angel Correa yang membuat kemunculan sulung di pentas Eropah.
"Ia perlawanan yang hebat di mana lawan kami bertahan sangat baik.
"Kami memiliki peluang untuk melebarkan jurang pada separuh masa pertama, namun ia tidak menjadi kenyataan," ulas jurulatih itu.
Kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Wolfburg pula masih belum memadai buat jurulatihnya, Louis van Gaal yang menganggap pemain tengah Juan Mata tidak beraksi ditahap sebenar sekalipun menjaringkan satu gol.
Red Devils bangkit mengikatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Mata pada minit ke-34 selepas lawan mereka mendahului hasil jaringan Daniel Caligiuri.
Chris Smalling memastikan tiga mata buat United dengan jaringan cantik dan diberi pujian oleh van Gaal kerana bukan sahaja menjalankan tugasnya dengan baik di bahagian pertahanan.
Sementara itu jiran mereka, Manchester City dipaksa berpeluh sebelum menang ke atas 2-1 Borussia Monchengladbach.
Pertahanan goyah nyaris membuatkan pasukan pelawat itu berputih mata dan harus berterima kasih kepada penjaga gol, Joe Hart yang bertindak cemerlang menafikan tendangan penalti Raffael pada awal pertama serta menepis deretan peluang dicipta pemain Brazil itu.
City bangkit daripada ketinggalan menerusi Nicolas Otamendi dan Sergio Aguero memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-90 untuk menghadirkan kelegaan buat Manuel Pellegrini yang menerima tekanan hebat kebelakangan ini.