Ronaldo patut diberi sepakan penalti, kata Solskjaer
Astro Arena
September 14, 2021 07:52 MYT
September 14, 2021 07:52 MYT
OLE Gunnar Solskjaer berasakan Manchester United seharusnya dihadiahkan sepakan penalti ketika tewas 1-2 kepada Young Boys dalam Liga Juara-Juara (UCL) sambil menunding jari bahawa kekalahan itu berpunca daripada kurang fokus.
United seakan-akan bakal menuju kemenangan ketika Cristiano Ronaldo - yang menyamai rekod bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Iker Casillas, dengan penampilannya ke-177 di pentas itu - apabila meletakkan mereka di depan pada minit ke-13.
Jaringan itu menjadikan Young Boys sebagai pasukan ke-36 dalam koleksi gol bintang Portugal tersebut dalam kancah UCL selain Lionel Messi.
Begitupun, rentak permainan berubah apabila Aaron Wan-Bissaka dilayangkan kad merah dalam separuh masa pertama berikutan terjahan terhadap Christopher Martins Pereira.
Senario perlawanan tampak tidak memihak pelawat apabila pengadil, Francois Letexier, tidak mengendahkan rayuan penalti daripada Ronaldo selepas dijatuhkan Mohamed Camara.
Young Boys memanfaatkan kelebihan seorang pemain apabila mengimbangi kedudukan menerusi gol Nicolas Moumi Ngamaleu pada minit ke-66.
Pertembungan Kumpulan F itu kelihatan menuju keputusan seri tetapi tolakan ke belakang oleh Jesse Lingard, yang menggantikan Ronaldo pada minit ke-72, diterpa Jordan Siebatcheu untuk memastikan kemenangan tuan rumah ketika wisel penamat hampir ditiupkan.
Ditanya mengenai Ronaldo, Solskjaer berkata: "Anda tidak akan terkejut dengan pemain ini, dia sekali lagi meledak gol, dia juga sepatutnya diberikan sepakan penalti malah pemain lawan juga seharusnya dibuang padang
"Dia mengambil peluang yang ada. Dia luar biasa tetapi kami harus menjaganya dan berasa ia detik yang tepat untuk mengeluarkannya."
Mengenai rayuan penalti itu, tambahnya: "Pemain lawan menolaknya dengan lengan ketika dia sedang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi pengadil mungkin tidak memberikannya malah pemain tersebut tidak dibuang padang. Adakalanya itulah yang anda dapat menerusi pengadil muda."
Solskjaer, bagaimanapun, mengakui kekalahan anak buahnya itu berpunca daripada kesilapan sendiri berhubung satu lagi kekalahan UCL yang mirip dengan kekalahan kepada Istanbul Basaksehir dan RB Leipzig musim lalu.
"Kurang fokus, apabila kesilapan terjadi maka anda akan dihukum," jelas Solskjaer.
"Kami turut mengulanginya tahun lalu, kami dibolosi mudah dengan dua serangan balas ketika bertemu Basaksehir dan tumpas pada saat-saat akhir dalam perlawanan seperti hari ini.
"Jesse mahu mengambil pendekatan selamat lalu tersilap membuat hantaran hingga kami melepaskan gol. Itulah yang berlaku dalam bola sepak. Sekiranya Jesse diberi satu lagi peluang, dia pasti akan memalingnya badannya dan menyepak dengan cara yang lain. Disiplin adalah sebahagian besar daripada perlawanan. Aaron biasanya bijak melakukan terjahan, dia salah seorang pemain terbaik di dunia.
"Kami sedar bahawa kami akan berdepan tugas yang lebih sukar seperti tahun lalu apabila semua orang menyangka kami akan lolos selepas mengharungi dua perlawanan.
"Anda memerlukan 10 atau 12 mata, memenangi perlawanan di tempat sendiri dan satu di tempat lawan. Kami terlepas peluang untuk meraih tiga mata tetapi kami masih mempunyai dua perlawanan di laman sendiri bagi aksi seterusnya dan harus fokus dengan kedua-duanya."