Ronaldo, Modric atau Salah?
Ian Johan Ariff
September 24, 2018 15:13 MYT
September 24, 2018 15:13 MYT
SIAPA bakal dinobat pemain bola sepak lelaki terbaik FIFA, menjelang majlis The Best FIFA Awards yang akan berlangsung lewat malam ini.
Bakal berlangsung di Royal Festival Hall di London, ia dijadual bermula pada pukul 1:30 pagi waktu Malaysia.
Tiga finalis bagi calon pemain terbaik lelaki adalah Luka Modric (Croatia/Real Madrid), Mohamed Salah (Mesir/Liverpool) dan pemenang tahun lepas, Cristiano Ronaldo (Portugal/Real Madrid).
Bagi Ronaldo, beliau berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah UEFA (UCL) bersama Madrid, penjaring terbaik UCL (15 gol) musim 2017/18 dan menjuarai Kejohanan Kelab Dunia FIFA di UAE juga bersama Madrid.
Modric pula merupakan ketua pasukan Croatia yang mengetuai skuadnya layak ke final Piala Dunia FIFA buat kali pertama dalam sejarah.
Beliau juga pemenang bola emas ataupun pemain terbaik Piala Dunia FIFA Rusia 2018 selain menjuarai UCL dan Kejohanan Kelab Dunia FIFA musim lepas bersama Madrid.
Mohamed Salah pula mencipta fenomena baharu dalam bola sepak terutama sekali untuk Liverpool dengan membantu kelab itu mara ke final UCL, namun mereka tewas kepada Madrid.
Salah juga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lepas dengan 32 gol iaitu satu rekod baharu bagi liga tersebut.
Saat paling manis sepanjang musim lepas untuk Salah sudah pasti menjaringkan gol kemenangan yang memastikan skuad antarabangsa Mesir layak ke Piala Dunia FIFA Rusia 2018 buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.
Salah juga tercalon bagi anugerah Puskas ataupun gol terbaik namun berdepan cabaran daripada gol akrobatik Gareth Bale ke atas Liverpool pada final UCL musim lepas dan juga gerakan sama yang dibuat Ronaldo menentang Juventus pada suku akhir UCL musim lepas.
Sementara itu, finalis bagi pemain terbaik wanita pula adalah Ada Hegerberg (Norway/Lyon), Dzsenifer Marozsan (Jerman/Lyon) dan Marta (Brazil/Orlando Pride).
Penjaga gol terbaik juga menjadi rebutan antara Thibaut Courtois (Belgium/Chelsea), Hugo Lloris (Perancis/Tottenham Hotspur) dan Kasper Schmeichel (Denmark/Leicester City).
Calon bagi jurulatih terbaik lelaki pula adalah pengendali Croatia, Zlatko Dalic, jurulatih Perancis, Didier Deschamps dan pemenang tahun lepas, Zinedine Zidane dari Real Madrid.
Calon jurulatih terbaik untuk pasukan bola sepak wanita pula adalah Reynald Pedros dari Lyon, jurulatih Jepun, Asako Takakura dan Sarina Wiegman dari skuad antarabangsa Belanda.
Pemenang ditentukan oleh undian jurulatih dan ketua pasukan kebangsaan, selain 25% undian awam dan 25% undian media.
#Cristiano Ronaldo
#FIFA
#Luka Modric
#Mohamed Salah
#Piala Dunia 2018
#Puskas Awards
#The Best FIFA
#UCL